Tchetche (kiri) mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu. FOTO/NSTP
Tchetche (kiri) mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu. FOTO/NSTP
Malik Muhamad


PENYERANG sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche belum membuat keputusan sama ada akan terus kekal menyarung jersi skuad Penyu musim depan atau beralih angin dengan pasukan baharu.

Ini kerana pemain kelahiran Ivory Coast itu belum bersemuka secara rasmi lagi dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kerana menghormati kontrak yang bakal berakhir bulan depan.

Malah ketika ditanya adakah dia masih berminat menyarung jersi skuad TFC, pemain yang memakai jersi bernombor 23 itu yang juga pemain paling bernilai skuad itu enggan mengulas lebih lanjut sebaliknya mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu.

“Secara jujurnya, saya belum membuat keputusan secara rasmi lagi sama ada akan terus bermain bersama pasukan TFC musim depan atau sebaliknya.

“Lagipun setakat ini belum ada perbincangan secara rasmi lagi antara saya dengan persatuan, mungkin perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut selepas ini sebelum saya membuat keputusan,” ujar Tchetche.

Pemain berketinggian 1.72 meter itu mula menyarung jersi skuad Penyu pada pertengahan musim 2017 menggantikan penyerang kelahiran Argentina, Federico Falcone yang gagal menyerlah.

Selepas menyarung jersi skuad itu, bekas penyerang kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu berjaya membantu pasukan TFC kembali beraksi dalam saingan Liga Super ketika bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

Pada 2018, anak bongsu daripada enam beradik itu semakin `berbisa’ apabila muncul penjaring kedua terbanyak Liga Super dengan meledak 14 gol selain muncul penjaring terbanyak Piala Malaysia pada tahun sama dengan menjaringkan sembilan gol.

Kejayaan melangkah ke pentas final Piala Malaysia musim lalu adalah detik terindah buat bapa kepada dua cahaya mata perempuan, Kipre Grace, 10 dan Kipre Astrid, 9, lebih-lebih lagi apabila dia berjaya meledak dua gol awal pasukannya.

Namun pasukannya gagal merangkul trofi piala berprestij itu selepas tumpas 1-4 kepada Perak menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 hingga masa tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 6:24 PM