KIPRE (tengah) tiada jaminan tempat bersama TFC. FOTO/NSTP
KIPRE (tengah) tiada jaminan tempat bersama TFC. FOTO/NSTP
Malik Muhamad


KEDUDUKAN Kipre Tchetche belum selamat.

Itu jawapan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim ketika ditanya mengenai kedudukan penyerang sensasinya itu dalam skuad berkenaan.

Irfan menegaskan tidak ada jaminan buat pemain kelahiran Ivory Coast yang diberi gelaran 'Drogba Ganu' sama ada akan terus kekal menyarung jersi skuad Penyu itu atau diganti pemain lain pada jendela kedua perpindahan pemain yang bermula pada awal Mei ini.

Malah Irfan turut menjelaskan beliau sebenarnya sudah ada bayangan pemain baharu untuk mengambil alih 'jawatan' penyerang daripada pemain itu.

"Kedudukan pemain itu (Tchetche) sama ada akan kekal dalam skuad TFC selepas jendela kedua perpindahan pemain belum muktamad lagi, namun begitu saya sudah bersedia dengan pemain lain.

"Tapi saya tidak mahu membuat tindakan terburu-buru kerana masih ada masa lagi kira-kira tiga minggu untuk memutuskan perkara itu sama ada Tchetche akan terus kekal menyarung jersi TFC atau diganti dengan pemain lain bergantung kepada prestasi pemain itu.

"Bagaimanapun ketika bertemu FELDA United Tchetche bukan hanya mampu menjaringkan gol, tapi corak permainannya lain macam sikit dan semakin meningkat," katanya.

Ketika menentang skuad The Fighters di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat lalu, bekas penjaring kedua terbanyak Liga Super musim lalu itu dengan menghasilkan 14 gol berjaya membuktikan ketajamannya apabila meledak dua jaringan untuk membantu pasukannya mencatat kemenangan 2-1.

Jaringan itu adalah yang pertama dihasilkan pemain itu musim ini dalam saingan Liga Super selepas kemarau gol sejak sembilan perlawanan terdahulu yang menyaksikan skuad TFC hanya merekod 11 jaringan manakala 14 bolos dalam saingan liga setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 12:50 PM