Iskandar Shah Mohamed

PENAMPILAN atlet terjun negara, Leong Mun Yee di kolam renang bukan hanya menarik perhatian ramai dengan bakat terjunan yang dimiliki.

Kemampuannya terbukti selepas meraih pelbagai kejayaan di kolam renang sama ada di peringkat tempatan dan antarabangsa selepas membabitkan diri dalam sukan itu sejak 25 tahun lalu.

Malah, wajah persis model ratu terjun kelahiran Ipoh, Perak ini sering mencuri perhatian ramai.

Di sebalik semua itu, Mun Yee, 35, memendam hasrat untuk terus menabur bakti kepada tanah air dengan membina akademi renangnya sendiri selepas bersara kelak.

“Rasa cinta terhadap dunia terjun terlalu mendalam kerana saya mula menceburinya sejak berusia 10 tahun dengan menempuh pelbagai kenangan pahit dan manis.

“Berbekalkan pengalaman sedia ada, saya mahu membuka akademi renang bagi memberi ruang dan peluang kepada generasi muda, sekali gus melahirkan atlet pelapis bagi sukan itu. Jika ada rezeki, mungkin ia dibina di negeri kelahiran saya, Perak,” katanya.

MUN Yee ceburi sukan terjun sejak berusia 10 tahun. FOTO Owee Ah Chun
MUN Yee ceburi sukan terjun sejak berusia 10 tahun. FOTO Owee Ah Chun

Anak bongsu daripada tiga beradik yang mesra disapa Angela mengakui sukan bertaraf dunia diceburinya itu tidak semudah disangka dan memerlukan semangat kental untuk berjaya.

“Perkataan putus asa sememangnya tidak pernah wujud dalam diri saya malah sentiasa ingin melakukan lebih baik dalam setiap terjunan atau kejohanan yang disertai sejak di bangku sekolah.

“Justeru, menerusi akademi itu, saya mahu berkongsi segala apa yang dimiliki ketika ini kepada generasi baharu terutama menyemai semangat sukan demi negara tercinta,” kata penuntut Sarjana Komunikasi Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Menurut Mun Yee, dia turut mempunyai pelbagai perancangan masa depan lain termasuk soal perkahwinan dan meneruskan perniagaan kafe miliknya di Bukit Jalil.

MUN Yee (bawah) dan Pandelela beraksi dalam acara 10m Piala Terjun Asia. FOTO Owee Ah Chun
MUN Yee (bawah) dan Pandelela beraksi dalam acara 10m Piala Terjun Asia. FOTO Owee Ah Chun

“Saya amat bersyukur kerana keluarga sentiasa memberi dorongan kuat kepada karier saya yang bukan hanya tertumpu kepada sukan terjun malah sebagai penuntut dan pengusaha kafe.

“Berkaitan soal persaraan, saya akan memuktamadkan keputusan mengenainya selepas berakhir temasya Sukan Olimpik Tokyo tahun depan,” katanya.

Beliau yang sudah meraih 17 pingat emas Sukan SEA sejak penampilan sulungnya di Jakarta 1997 itu turut memiliki hobi unik seperti membuat kraftangan, menenun kain dan dekorasi kek bagi mengisi masa lapangnya.

“Biarpun menghadapi jadual harian yang padat terutama sesi latihan, saya sebagai insan biasa juga memerlukan masa untuk melepaskan kepenatan dan tekanan termasuk pulang bercuti bersama keluarga tercinta.

“Selain itu, saya begitu menghargai sokongan rakyat yang terus berdiri teguh di belakang karier saya sebagai penerjun negara selama ini,” katanya yang mempunyai 129,000 pengikut Instagram dan 44,000 di Facebook (FB).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:30 AM
MUN Yee raih 17 pingat emas Sukan SEA sejak 1997. FOTO Owee Ah Chun
MUN Yee raih 17 pingat emas Sukan SEA sejak 1997. FOTO Owee Ah Chun