Pemain PKNS FC terjatuh ketika berebut bola dengan pemain Terengganu IV, Muhammad Muslihuddin (kanan). NSTP/ROZAINAH ZAKARIA
Pemain PKNS FC terjatuh ketika berebut bola dengan pemain Terengganu IV, Muhammad Muslihuddin (kanan). NSTP/ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad


SKUAD Piala Belia Terengganu menembus kehampaan final musim lalu selepas muncul juara menundukkan PKNS FC dengan agregat 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Pada aksi final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya Sabtu lalu, skuad Terengganu IV yang dibimbing Subri Sulong dan PKNS FC dikendalikan Muhamad Azrin Mohamed terikat tanpa jaringan.

Penyerang, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid muncul wira apabila meledak gol kemenangan pasukannya sekali gus skuadnya mencipta sejarah pertama menjulang trofi itu.

Musim lalu, skuad Penyu tewas 1-2 kepada pasukan sama pada aksi final.

Terdahulu Terengganu berpeluang untuk memimpin perlawanan pada m-10 menerusi sepakan gunting penjaring terbanyak, Muhammad Isa Raman namun bola terkena palang gol.

Ketika pelawat menyusun gerakan, skuad Penyu mendapat peluang kedua enam minit kemudian menerusi rembatan kencang Muslihuddin Atiq yang sedikit tersasar.

Pada minit ke-34, perlawanan terhenti seketika apabila pemain Terengganu, Muhammad Isa dan pemain PKNS, Ahmad Azraf Ahmad Azam hampir bergaduh namun dapat dileraikan pengadil, Mohamad Faizudin Ismail.

Dua minit berselang, Terengganu mendominasi permainan sekali lagi memperolehi peluang menerusi Nur Muhammad Alamin Mohd Zahid yang bijak melambung bola tapi sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol pelawat.

PKNS yang lebih banyak bertahan hampir mengejutkan tuan rumah melalui rembatan kencang Muhammad Hadi Mohamad dari luar kotak penalti pada m-61 namun gagal menerjah jaring gol.

Usaha berterusan tuan rumah berhasil m-62 apabila Muslihuddin Atiq yang mendapat umpanan daripada Muhammad Isa bijak memperdaya penjaga gol, Muhammad Syafiq Sabaruddin sebelum merembat kencang untuk mendahului 1-0.

Dengan kemenangan itu Terengganu menggondol hadiah wang tunai sebanyak RM80,000 manakala PKNS RM50,000.

Hadiah kepada juara disempurnakan oleh Yang Mulia Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil manakala naib juara disampaikan exco FAM, Mohd Firdaus Mohamed.

Hadir, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusuf Mahadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 11:23 PM