PEMAIN Terengganu, Muhammad Musuhuddin ‘Atiq Mat Zaid (kanan), meraikan gol pertama jaringannya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PEMAIN Terengganu, Muhammad Musuhuddin ‘Atiq Mat Zaid (kanan), meraikan gol pertama jaringannya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


Bangi: Pasukan bola sepak Terengganu semakin hampir mengenggam 'ibu segala pingat' apabila melangkah ke pentas final selepas berjaya melepasi halangan separuh akhir.

Dalam aksi separuh akhir di Stadium Mini Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) petang tadi, skuad penyu itu melakar kemenangan 2-1 ke atas Selangor.

Kejayaan mara ke final itu menyaksikan Terengganu berpeluang mengulangi pencapaian cemerlang apabila memenangi pingat emas secara hatrik dalam tiga temasya sama iaitu pada 2006, 2008 dan 2010.

Keingginan tinggi Terengganu untuk memenangi aksi itu cukup tinggi apabila mendahului seawal minit keenam hasil sentuhan Muhamad Muslihuddin Atiq Mat Zaid.

Jaringan itu nyata menyuntik semangat pemain Terengganu yang terus mendominasi aksi dengan sesekali Selangor menyerang.

Kedudukan Terengganu terus selesa di minit 36 apabila meledak gol kedua yang disumbangkan Muhammad Zahim Raimi Zamani sekaligus menamatkan aksi babak pertama dengan 2-0.

Bersambung separuh masa kedua, skuad Red Giants tampil dengan permainan lebih kemas bagi memburu gol.

Hasilnya Selangor berjaya meraih gol pertama menerusi Muhamad Azim Muzahhir Saipu Azlan di minit ke-61.

Bagaimanapun, gol penyamaan yang dicari Selangor untuk mengheret aksi ke masa tambahan tidak kunjung tiba sekaligus keputusan 2-1 kekal memihak Terengganu untuk lolos ke final.

Lawan Terengganu di final sama ada antara Pulau Pinang atau Wilayah Persekutuan yang akan berlangsung di Stadium UiTM, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 7:03 PM