Shukor berada dalam senarai pemai ke Kuantan. FOTO NSTP
Shukor berada dalam senarai pemai ke Kuantan. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


KAPTEN Melaka United (MU), Mohd Shukor Adan berada dalam senarai 18 pemain ke Kuantan, kata jurulatih Zainal Abidin Hassan.

Beliau mengulas persediaan pasukan itu menjelang suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, esok.

Katanya, pemain berpengalaman terbabit menyertai skuad berkenaan kali ini selepas enggan disenaraikan ketika aksi pusingan pertama berdepan lawan sama.

Menurutnya, samada dia diturunkan atau sebaliknya hanya ditentukan menjelang perlawanan seperti kebiasaan.

"Apapun, apa yang penting semua pemain memiliki semangat tinggi untuk beraksi dalam misi menebus kehampaan di gelanggang sendiri.

"Semangat ditunjukkan semua pemain membanggakan dan diharap mereka mampu memberi saingan selepas tewas 0-3 di Paya Rumput, minggu lalu," katanya.

Zainal tidak mengambil kira ketiadaan beberapa pemain utama tuan rumah yang tidak diturunkan sebaliknya mahu anak buahnya fokus berdepan siapa sahaja pemain lawan akan beraksi.

Namun kehadiran Shukor dalam skuad Hang Tuah memberi suntikan moral kepada pemain Melaka.

Pada pusingan pertama di Hang Jebat Ahad lalu ketiadaan Shukor begitu dirasai skuad apabila bolos tiga gol.

Shukor, bekas pemain Selangor, Negeri Sembilan dan PDRM secara jujur memberitahu Zainal enggan bermain di Melaka.

Zainal kemudian menurunkan Razman Roslan sebagai pengganti Shukor di barisan benteng.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 6:33 PM