Nazri Abu Bakar


TIGA bintang utama Melaka, Khairul Fahmi Che Mat (Apek), Davy Angan dan Saiful Ridzuan Selamat terlepas beraksi pada pertemuan menentang FELDA United di Stadium Tun Abd Razak, Jengka malam esok.

Jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata, kecederaan yang mereka alami membantutkan hasrat pasukan menggunakan khidmatnya pada perlawanan ketiga Piala Malaysia terbabit.

Katanya, sememangnya dia amat mengharapkan kesemua mereka pulih bagi menggalas cabaran berdepan The Fighters namun situasi tidak mengizinkan terpaksa diterima dengan terbuka.

“Khairul Fahmi setakat ini terlepas kesemua aksi Piala Malaysia dengan tugasnya sebagai penjaga gol dipertanggungjawabkan kepada Ahmad Solehin Mamat.

Apapun kami mengharapkan Khairul dapat diturunkan pada aksi keempat Melaka berdepan PDRM kelak.

“Angan mengalami kecederaan agak serius akibat bertembung dengan pertahanan The Cops di Stadium Hang Jebat, dua minggu lalu dijangka terlepas beberapa perlawanan,” katanya.

Zainal mengharapkan Saiful yang beraksi di posisi tengah segera pulih bagi membolehkan perancangan dibentuk membabitkan kesemua pemain terbabit selepas ini.

Buat masa ini isu tanpa tiga tonggak terbabit dilupakan untuk fokus perlawanan di Jengka.

Beliau berkata, walaupun apa situasi bakal dihadapi kunjungan ke gelanggang lawan adalah pulang dengan kemenangan atau sekurang-kurangnya satu mata berharga.

Baginya, saingan sengit bersama tuan rumah selain The Cops dan Selangor itu perlu memihak kepada skuad Hang Tuah kali ini bagi membuka ruang ke suku akhir.

Zainal membawa skuadnya menjalani latihan di padang rumput tiruan di Lendu, Alor Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 4:35 PM