Angan (jersi hijau) ledak gol tunggal berdepan UKM di Stadium Hang Tuah. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Angan (jersi hijau) ledak gol tunggal berdepan UKM di Stadium Hang Tuah. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


JURULATIH Melaka, Zainal Abidin Hassan berpuas hati walaupun skuad bimbingannya terikat 1-1 ketika berdepan UKM FC pada aksi persahabatan di Stadium Hang Tuah, Melaka Bandaraya Bersejarah, malam tadi.

Malah, dia turut menghamburkan pujian kepada beberapa pemain simpanan yang beraksi agresif selepas diberi peluang tampil memperagakan kebolehan.

Katanya, ia suatu perlawanan menarik dengan cabaran diberikan pasukan pelawat amat sengit sekali gus menguji kemampuan persefahaman dalam kalangan pemain.

Menurutnya, apa yang penting perlawanan itu memberi ruang buat pemain import baharu terutama Davy Claude Angan dan Dominic Balic mengetengahkan kewibawaan masing-masing.

"Selepas hanya beraksi pada perlawanan sulung bertemu Perak di Ipoh dua minggu lalu, Angan dan Balic mempamerkan kesungguhan yang tinggi ketika berdepan UKM FC.

"Dalam masa sama, membolehkan mereka membentuk persefahaman terhadap rakan sepasukan termasuk pemain gantian selain menterjemah corak permainan direncana," katanya.

Dalam perlawanan itu, Zainal turut menurunkan penjaga gol simpanan Oscar Wong Tse Yang serta Ramzi Haziq, Khuzaimi Piee dan Faizal Abu Bakar dalam kesebelasan pertama.

Sementara itu, tiga pemain utama skuad Hang Tuah, Patrick Reichelt, Luka Milunovic dan Jang Suk Won tidak diturunkan sekali gus mewujudkan rangkaian serangan diketuai oleh Angan.

Malah jaringan tunggal tuan rumah dicipta menerusi sentuhan Angan sekali gus melegakan Zainal yang mahu bintang kelahiran Ivory Coast itu menyerlah sepanjang baki pusingan kedua Liga Super.

Zainal berkata, sesuatu yang menarik dapat diperolehi daripada aksi persahabatan terbabit terutama mentafsirkan kelemahan dan kelebihan pada setiap pemain serta taktikal yang dirancang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 4:58 PM