ROY  King mengetuai baca ikrar pada majlis penyerahan bendera kepada skuad badminton remaja di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.  - FOTO Owee Ah Chun
ROY King mengetuai baca ikrar pada majlis penyerahan bendera kepada skuad badminton remaja di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


KALI terakhir beregu lelaki meraih pingat di Kejohanan Dunia Remaja ialah pada 2011 melalui Nelson Heg-Teo Ee Yi, namun Yap Roy King berazam untuk cuba manamatkan kemarau berkenaan di Kazan, Russia.

Dia yang akan bergandingan bersama Ooi Jhy Dar meletakkan sasaran meraih pingat walaupun di Kejohanan Remaja Asia mereka terkandas di suku akhir.

"Kami sudah melakukan persiapan yang sangat baik selama dua minggu. Setakat ini kami bersemangat untuk memberikan aksi cemerlang di sana dan berharap mampu membanggakan rakyat Malaysia," katanya yang juga ketua pasukan.

Sejak Nelson-Ee Yi meraih emas di Taiwan pada 2011, beregu lelaki remaja negara seakan hilang arah kerana bukan saja tidak mampu menjadi juara malah gagal meraih sebarang pingat sehingga tahun lalu.

Skuad beregu lelaki remaja pada satu ketika sangat digeruni kerana berjaya meraih emas di kejohanan berkenaan empat kali berturut-turut.

Roy King juga bukan saja berazam untuk membuktikan kecemerlangan dalam acara individu tapi membantu skuad remaja negara mencatat keputusan membanggakan bagi acara berpasukan campuran.

"Memang ada perbezaan berbanding skuad kali ini dan kejohanan remaja Asia Ogos lalu, di mana beberapa pemain utama dapat diturunkan selepas mereka mengalami kecederaan sehingga tidak dapat diseneraikan di Suzhao, China.

"Kehadiran mereka membuatkan kami lebih semangat kerana yakin mereka mampu menyumbangkan mata untuk membantu skuad berpasukan campuran," katanya.

Antara perseorangan lelaki yang kembali memperkuatkan skuad remaja ialah Wyman Goh dan Shaqeem Eiman Shahyar. Kejohanan Remaja Dunia kali ke-21 itu akan berlangsung dari 30 September hingga 15 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 9:43 PM