SKUAD badminton remaja negara gagal bawa balik pingat dari Kazan.
SKUAD badminton remaja negara gagal bawa balik pingat dari Kazan.
Ferzalfie Fauzi

IMPIAN untuk membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir pingat di Kejohanan Remaja Dunia di Kazan, Rusia berkecai apabila kesemua wakil negara tumpas dalam saingan suku akhir hari ini.

Prestasi buruk itu bukan saja mengulangi pencapaian di Kejohanan Remaja Asia Julai lalu, malah ia menyamai pencapaian di Kejohanan Remaja Dunia 2014 dan 2013.

Dalam aksi suku akhir hari ini perseorangan lelaki, Shaqeem Eiman Shahyar tumpas kepada pilihan ke-13 dari Indonesia, Yonathan Ramlie 16-21, 21-17, 19-21.

Seorang lagi wakil perseorangan lelaki, Wyaman Goh menarik diri dan memberi kemenangan percuma kepada pilihan keempat dari China, Li Yun Ze.

Harapan pingat yang diletakkan kepada beregu campuran, Yap Roy King-Gan Jing Er juga tidak menjadi apabila pilihan keenam itu kalah kepada Ratchapol Makkasasithorn-Benyapa Aimsaard (Thailand) 19-21, 17-21.

Beregu lelaki, Arif Junaidi-Haikal Nazri juga tunduk di tangan pilihan ketiga dari China, Dai En Yi-Feng Yan Zhe 13-21, 15-21.

Tahun lalu di Markham, Kanada, Malaysia meraih satu emas dari perseorangan wanita, Goh Jin Wei manakala beregu wanita Pearly Tan-Toh Ee Wei membawa pulang perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 12:03 AM