GOH JIN WEI
GOH JIN WEI
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Malaysia berpeluang untuk meraih gelaran berganda dalam saingan individu pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia selepas dua wakil negara mengesahkan tempat ke pentas akhir, awal pagi tadi.

Cabaran negara ke pentas akhir kejohanan di Markham, Kanada itu diketuai pemenang pingat emas Olimpik Belia 2018, Goh Jin Wei yang menewaskan pilihan utama dari China, Wang Zhiyi 21-9, 21-13 dalam aksi separuh akhir perseorangan wanita.

 

Kemenangan itu juga menyaksikan Jin Wei berjaya melunaskan dendamnya ke atas Zhiyi selepas tewas ketika aksi dalam saingan berpasukan campuran, minggu lalu.

 

Jin Wei yang memburu gelaran kedua selepas muncul juara buat kali pertama pada 2015 akan bertemu pemain Denmark, Line Christophersen dalam pertarungan akhir.

 

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-Toh Ee Wei turut mara selepas menundukkan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Ribka Sugiarto 21-19, 21-19 dalam aksi separuh akhir.

 

Mereka akan menentang pilihan pertama dari China, Liu Xuanxuan-Xia Yuting bagi merebut gelaran juara.

 

Kali terakhir Malaysia berjaya meraih gelaran berganda dalam saingan individu Kejohanan Remaja Dunia adalah pada 2011 di Taiwan menerusi perseorangan lelaki, Zulfadli Zulkifli dan beregu lelaki, Nelson Heg-Teo Ee Yi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 8:41 AM