SYAHMI (kiri)  diekori rapat pemain Melaka, Patrick Alcala Reichelt.
SYAHMI (kiri) diekori rapat pemain Melaka, Patrick Alcala Reichelt.
Oleh Firdaus Hashim

TONGGAK pertahanan Selangor, Syahmi Safari memasang dua misi peribadi apabila turun berhadapan Perak dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Ia ibarat serampang dua mata apabila Syahmi bukan saja mahu memastikan pasukannya bangkit memadam kelebihan pelawat yang meraih bekalan satu gol, malah dia turut mengidam menjulang Piala Malaysia bersama skuad Red Giants musim ini.

Jelas pemain kelahiran Kuala Selangor itu, sudah menjadi impiannya sejak kecil untuk merasai nikmat kejuaraan piala tertua itu yang amat sinonim dengan skuad Merah Kuning itu.

Katanya, dua percubaan pada saingan 2017 dan 2018 berakhir dengan kegagalan apabila Selangor tidak mampu melepasi separuh akhir selepas kali terakhir menjuarai buat kali ke-33 pada 2015 serta naib juara 2016.

“Piala Malaysia ini sangat istimewa buat pasukan Selangor. Walaupun ada sesetengah pihak cakap Piala Malaysia ini tak penting dan tak bawa sebarang makna, bagi diri saya sendiri sebagai pemain bola sepak ia kejohanan yang ada keunikan dan sejarah hebat.

“Saya dah bersama pasukan tiga musim (skuad utama Selangor), saya rasa saya nakkan sesuatu (kejuaraan Piala Malaysia) untuk pasukan Selangor dan juga untuk saya sendiri.

“Sekarang ini pun kami hanya tinggal Piala Malaysia dan rasanya tak ada mustahil. Apa yang penting kami semua kena kerja keras dan insya-Allah kalau ada rezeki tak ke mana,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Dalam pada itu, Syahmi menyifatkan peluang kedua-dua pasukan untuk mencuri tiket ke separuh akhir masih terbuka dan percaya Red Giants mampu mengecewakan Perak yang ketika ini amat bermotivasi untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu itu.

“Perak pasukan berkualiti, ramai pemain bagus macam Brendan Gan dan penyerang import yang tajam. Tapi Selangor kena main satu pasukan dan kena lebih berdisiplin serta ikut taktikal jurulatih. Insya-Allah kalau kami buat semua ini, tak mustahil boleh menang.

“Lagipun, peluang masih terbuka 50-50. Kita kena jaringkan gol dan berusaha tidak dibolosi kerana peraturan gol di tempat lawan diambil kira nanti,” kata pemain kebangsaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 6:00 AM