KHYRIL Muhymeen. Foto Bernama
KHYRIL Muhymeen. Foto Bernama
Syazwan Msar


PENGENDALI Selangor B Sathianathan melihat pemain sayapnya Khyril Muhymeen Zambri umpama Cristiano Ronaldo yang mampu meledakkan gol pada waktu penting selain tangkas ketika beraksi di atas padang.

Beliau berkata, walaupun bekas pemain Perlis itu dirundung masalah kecederaan sebelum ini namun kini dia tampil lebih menyakinkan selain menjadi antara senjata rahsia kepada Selangor untuk meledak gol.

Katanya, kemenangan malam kelmarin membuktikan Selangor sentiasa komited dalam memberikan persembahan terbaik sehingga berjaya menyingkirkan penyandang juara Piala Malaysia musim lalu.

“Saya percaya dengan kebolehan dan kemampuan anak buah terutama Khyril Muhymeen yang dilihat seperti Ronaldo dengan mempunyai kepantasan dan mampu merobek gol lawan,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi, Selangor melangkah ke pusingan separuh akhir apabila bekas juara sebanyak 33 kali itu bangkit membenam Perak 3-1 di Stadium Shah Alam.

Kekuatan mental nyata menjadi tonik kebangkitan skuad Red Giants yang sebelum ini tewas 0-1 pada suku akhir pertama di Ipoh minggu lalu dan kemenangan 3-2 secara agregat itu menyaksikan hasrat skuad The Bos Gaurus mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu turut lebur.

Sementara itu, pengendali Perak Mehmet Durakovic berkata, beliau tidak mahu menyalahkan anak buahnya di atas kekalahan kepada Selangor sehingga gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

“Pemain sudah memberikan 100 peratus komitmen pada perlawanan terbabit dan saya tidak mahu menyalahkan pemain atau siapa saja kerana kami memang bersama selain turut kalah bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 8:10 PM