PEMAIN Selangor, Kugan Dhevarajan (kiri) beraksi pada perlawanan suku akhir dua Piala FA Malaysia, Selangor menentang Kuala Lumpur. -Foto HAFIZ SOHAIMI
PEMAIN Selangor, Kugan Dhevarajan (kiri) beraksi pada perlawanan suku akhir dua Piala FA Malaysia, Selangor menentang Kuala Lumpur. -Foto HAFIZ SOHAIMI
Aziman Rosdi

JURULATIH Selangor, Muhammad Nazliazmi Nasir mengakui mereka perlu segera memperbaiki kelemahan andai berhajat beraksi di final Piala FA selepas hampir dimalukan musuh tradisi Lembah Klang, Kuala Lumpur pada aksi suku akhir kedua malam tadi.

Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad Red Giants yang mempunyai bekalan tiga gol selepas perlawanan pertama membenarkan Kuala Lumpur bangkit mengikat agregat 3-3 dalam tempoh permainan 120 minit.

Mujur ketangkasan penjaga gol Khairulazhan Khalid yang menyelamatkan dua sepakan penalti untuk Selangor menang 8-7 pada penentuan itu untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2011.

Lawan mereka selepas ini juga musuh setempat, PKNS FC yang menyingkirkan Perak dengan agregat 4-3.

“Saya tak sangka perlawanan ini berkesudahan dengan sepakan penalti, memang terkejut dengan kebangkitan Kuala Lumpur. Ia pengajaran berguna buat saya dan pemain.

“PKNS pasukan serba lengkap dengan pemain import yang bagus. Tapi ini peluang terbaik Selangor selepas sekian lama tak masuk separuh akhir. Kita akan cuba perbaiki kelemahan yang ada,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Bagaimanapun, prestasi buruk Selangor itu mungkin boleh diterima memandangkan mereka kehilangan tonggak akibat kecederaan dan penggantungan iaitu Joseph Kalang Tie, Syahmi Safari, Willian Pachecho, Amri Yahyah dan Halim Zainal.

Ia menyebabkan Nazliazmi terpaksa bergantung harap kepada pemain muda bawah 23 tahun seperti Amirul Ashraf Ariffin, K Kannan, D Kugan, Sean Eugene Selvaraj dan K Sarkunan.

“Dalam bola sepak saya percaya, kejayaan bukan bergantung kepada satu, dua pemain saja. Saya sentiasa memberi sokongan dan peluang kepada semua pemain termasuk pemain muda yang menunjukkan kesungguhan dalam latihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 5:00 PM