PEMAIN Selangor, Evan Dimas tetap waspada skuad Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PEMAIN Selangor, Evan Dimas tetap waspada skuad Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Aziman Rosdi


TONGGAK Selangor, Evan Dimas percaya tiada jalan mudah buat mereka melepasi halangan Kuala Lumpur pada aksi suku akhir kedua esok meskipun memiliki kelebihan tiga gol.

Dia berkata, mereka perlu berwaspada dan tidak boleh membenarkan The City Boys membuat kebangkitan dalam pertemuan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras yang menjadi venue buat kedua-dua pasukan musim ini.

“Pasukan Kuala Lumpur sangat bagus dan kita sudah ada bekalan tiga gol untuk perlawanan esok tapi kita jangan ambil mudah. Jangan sombong, kita harus terus berjuang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selangor yang dibimbing Nazliazmi Mohamad Nasir cemerlang pada pertemuan pertama di Cheras, 7 April lalu dengan kemenangan 3-0.

Malah itu adalah kemenangan kedua skuad Red Giants ke atas musuh setempat itu musim ini apabila turut merekod kemenangan 2-0 dalam saingan Liga Super, 4 Februari lalu.

Bagaimanapun, Selangor yang juga juara lima kali Piala FA bakal berdepan tugas agak mencabar esok selepas mereka dihimpit masalah kecederaan dan penggantungan pemain yang menyaksikan beberapa tonggak seperti Willian Pachecho, Amri Yahyah, Halim Zainal dan Syahmi Safari terpaksa diketepikan.

Tapi Evan, pemain import dari Indonesia itu percaya, mereka kini sudah cukup bersedia meskipun rentak mereka turut terjejas dengan kekalahan 0-4 kepada Kedah dalam saingan liga minggu lalu.

"Kekalahan dengan Kedah kita sudah lupakan, jadi kita harus pandang ke depan. Ya saya tahu Amri, Pachecho, Halim dan Syahmi adalah pemain penting buat pasukan. Tapi kita harus percaya dengan pemain yang ada.

"Saya percaya esok kita akan mendapat keputusan terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 9:19 PM