RUFINO (tengah) mahu bantu Selangor julang trofi. FOTO/NSTP
RUFINO (tengah) mahu bantu Selangor julang trofi. FOTO/NSTP
Firdaus Hashim

SHAH ALAM: Selepas meraih gelaran penjaring terbanyak Liga Super pada Anugerah Bolasepak kebangsaan (ABK) musim ini, penyerang import Selangor, Rufino Segovia cukup teruja untuk memulakan saingan baharu dengan menyasarkan untuk membantu The Red Giants menjulang sekurang-kurangnya satu trofi musim depan.

Dia yang meledak 19 gol sepanjang kempen Liga Super musim ini berkata, fokus utamanya kini adalah memburu kejuaraan sulung bersama Red Giants selepas kempunan dikecewakan Pahang 0-2 pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Julai lalu.

"Memenangi anugerah penjaring terbanyak memang sesuatu yang terindah dalam hidup saya," kata bekas penyerang Atletico Madrid itu.

"Namun untuk musim baharu, saya mahu memenangi kejuaraan bersama Selangor. Kita ada tiga kejohanan utama iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

"Namun, saya tak kisah memenangi apa-apa kejuaraan pun asalkan Selangor berjaya meraih gelaran selepas kali terakhir menjulang trofi pada 2015 dengan meraih Piala Malaysia," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Mini Shah Alam, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai wajah baharu skuad Merah Kuning termasuk kehadiran pengendali B Sathianathan, dia yakin sasaran peribadi untuk menjulang satu trofi itu mampu dilaksanakan.

"Jurulatih seorang yang berpengalaman luas dan beliau sudah membuktikan sentuhannya dengan membawa beberapa pasukan memenangi kejuaraan sebelum ini.

"Saya percaya dengan sentuhan beliau dan dibantu beberapa pemain ternama yang dibawa masuk, misi menjulang trofi bukan sesuatu yang mustahil untuk diraih," katanya.

Selain kehadiran bekas pengendali FELDA United itu, Selangor turut berjaya menyunting ramai pemain berkaliber seperti Faiz Nasir, Wan Zack Haikal Wan Nor, Syazwan Zainon, Halim Saari, Norhakim Isa, Nurridzuan Abu Hassan dan penjaga gol berpengalaman, Farizal Harun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 7:37 PM