BERBATOV ketika beraksi pada kelayakan Piala Dunia 2010. FOTO Reuters
BERBATOV ketika beraksi pada kelayakan Piala Dunia 2010. FOTO Reuters
Reuters

BEKAS penyerang Manchester United dan Tottenham Hotspur Dimitar Berbatov mengumumkan persaraannya daripada bola sepak hari ini, 18 bulan selepas meninggalkan kelab India, Kerala Blasters, mengakhiri karier gemilangnya selama 20 tahun.

Penjaring terbanyak Bulgaria berusia 38 tahun itu juga pernah beraksi bersama CSKA Sofia, Bayer Leverkusen, Fulham, Monaco dan kelab Greece PAOK, tetapi tidak mempunyai kelab selepas meninggalkan Kerala Blasters 18 bulan lalu.

“Seseorang memberitahu saya yang saya patut berkata sesuatu, dan selepas mengetahui ramai yang bertanya terutama di negara sendiri, saya perlu menyampaikan ucapan selamat tinggal,” tulis Berbatov di Instagram.

“Perlawanan terakhir saya adalah lebih daripada setahun lalu, jadi saya fikir inilah masa yang terbaik untuk berhenti dan ia sudah tertangguh sekian lama.”

Penyerang berbakat itu yang menjulang dua gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United dan dinamakan Pemain Tahunan Terbaik Bulgaria sebanyak tujuh kali dari 2004 hingga 2010, berkata dia merancang untuk berada dalam bidang bola sepak dalam kapasiti tertentu.

“Apabila saya fikirkan kembali, ia bukan satu penamat, kerana saya akan kekal dalam sukan ini dalam cara yang lain,” katanya.

Berbatov menyertai Manchester United dari Tottenham pada 2008 pada harga rekod kelab ketika itu 30.75 juta pound (RM160.7 juta).

Dia membuat penampilan sulung bersama Bulgaria pada 1999 ketika berusia 18 tahun tetapi bersara daripada arena bola sepak antarabangsa pada 2010 selepas menjaringkan 48 gol dalam 79 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 12:35 AM