RASHFORD (kiri) dan Martial (kanan) ketika Manchester United bertemu Colchester United di Old Trafford. FOTO AFP
RASHFORD (kiri) dan Martial (kanan) ketika Manchester United bertemu Colchester United di Old Trafford. FOTO AFP
Reuters

MANCHESTER United sepatutnya terus membangunkan penyerang muda sendiri Anthony Martial dan Marcus Rashford daripada cuba mendapatkan pemain remaja Salzburg Erling Haaland, kata bekas penyerang Dimitar Berbatov.

Laporan media mengaitkan pemain Norway berusia 19 tahun itu yang menjaringkan 28 gol dalam 22 perlawanan musim ini dengan pertukaran ke beberapa kelab ternama Eropah termasuk United namun Berbatov berkata mereka tidak perlu membawa masuk seorang penyerang.

“Haaland bagus dan dia masih muda. Permainannya meningkat dan mungkin dia akan menjadi lebih baik,” kata Berbatov yang menjaringkan 48 gol liga dalam empat musim di Old Trafford.

“Namun saya katakan beberapa kali bahawa Martial dan Rashford, bagi saya, dua penyerang utama yang perlu disimpan United.

“Saya bermain dengan Martial di Monaco, saya tahu betapa bagusnya dia. Kini dia berada di tempat di mana dia boleh membangun dan menjadi bintang dunia.

“Semua orang tahu betapa hebatnya Rashford, mereka perlu kekal dengan dua pemain itu.”

Rashford menjaringkan 14 gol dalam semua kejohanan musim ini manakala Martial yang kembali ke skuad utama selepas pulih daripada kecederaan hamstring, tujuh.

“Mereka perlu kekal dengan pemain muda ini kerana mereka sungguh berbakat,” kata Berbatov.

“Bimbing mereka, tunjukkan arah yang betul dan mereka akan menjadi luar biasa.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 12:52 PM