Berbatov (kiri) dan Kane penyerang Spurs. FOTO File Agensi
Berbatov (kiri) dan Kane penyerang Spurs. FOTO File Agensi
Agensi

DIMITAR Berbatov seperti sudah melalui dilema diharungi Harry Kane, malah dia percaya penyerang Tottenham berkenaan sudah bersedia untuk meninggalkan kelab Utara London itu.

Kane peminat sejak kanak-kanak Spurs, sebelum ini menyatakan dia tidak menolak kemungkinan untuk meninggalkan kelab itu jika berasakan Spurs tidak mencapai kemajuan.

Ketua pasukan England berusia 26 tahun itu, belum memenangi sebarang trofi utama bersama Tottenham dan mempunyai baki kontrak bermain selamat empat tahun lagi.

Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane (tengah). FOTO File AFP
Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane (tengah). FOTO File AFP

Justeru Berbatov yakin penggempur itu sudah pun membayangkan perpindahannya.

Pemain Bulgaria itu melengkapkan dua musim di Spurs sebelum menyertai Manchester United, yang semakin hangat dikaitkan dengan Kane, pada 2008 dan memenangi dua kejuaraan Liga Perdana.

"Apa yang menyedihkan dalam bola sepak sejak dulu lagi ialah kewujudan kelab besar.

"Ia membuatkan kami terperangkap dalam situasi seperti itu yang menyaksikan pemain terbaik pasukan seperti Spurs perlu memutuskan sama ada mereka mahu kekal atau berpindah ke kelab gergasi," kata Berbatov kepada BBC Sport.

"Demikianlah keadaan yang dialami Harry Kane ketika ini. Dia berada dalam dilema dan perlu mengambil keputusan tepat untuk melakukan langkah seterusnya.

"Situasinya mungkin sukar ekoran wabak Covid-19 dan faktor kewangan, tetapi dia di kedudukan yang pernah saya alami.

"Kadang-kadang terlintas di fikiran dia mungkin tidak berada di tempat yang tepat." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 9:28 AM