Kehadiran Ronaldo (kiri) gugat Cavani. FOTO Agensi
Kehadiran Ronaldo (kiri) gugat Cavani. FOTO Agensi
Agensi

London: Dimitar Berbatov mendakwa Edinson Cavani tidak dilayan dengan adil oleh Manchester United selepas menandatangani Cristiano Ronaldo di Old Trafford dan memaksa penyerang itu meninggalkan kelab.

Masalah kecederaan dan kepulangan Ronaldo ke Red Devils menghadkan penampilan Cavani kepada tiga permulaan musim ini selepas menjadi pemain tonggak di Old Trafford musim lalu dengan menjaringkan 17 gol dalam kempen pertamanya di England.

Difahamkan penyerang Uruguay berusia 34 tahun itu menjadi sasaran Barcelona pada jendela perpindahan Januari namun United mahu memanfaatkan baki kontraknya.

Berbatov percaya bekas penyerang PSG itu harus beraksi lebih kerap di Old Trafford musim ini - di mana peluang sama pastinya diperolehi di Sepanyol.

"Di sebalik mempamerkan aksi yang baik musim lalu, Cavani tidak diberi peluang beraksi dengan cukup," kata Berbatov kepada Betfair.

"Apabila seseorang seperti Ronaldo hadir di kelab, dia mengambil alih semua tumpuan itu, dia beraksi setiap perlawanan dan dalam dunia bola sepak ia berlaku.

"Ia situasi yang tidak adil kerana Cavani beraksi dengan baik untuk pasukan musim lalu, dia layak mendapat tawaran baharu tetapi Ronaldo mengambil tempatnya dalam pasukan. Ia tidak adil tetap ini berlaku dalam bola sepak.

"Jika ada peluang Cavani meninggalkan kelab, jika ada tawaran daripada Barcelona, sudah tentu dia akan memikirkan untuk menerimanya bagi mendapat kepuasan dalam bola sepak malah jika dia mendapat lebih minit permainan di La Liga saya akan menyokongnya dan berkata 'pergi ke sana dan bermain', ia kelihatan seperti tawaran yang menarik, lumayan dan anda bukan lagi berusia 24 tahun."

Cavani dikaitkan dengan perpindahan ke Boca Juniors musim panas lalu tetapi berjaya diyakinkan oleh bekas pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer untuk menandatangani kontrak setahun lanjutan pada Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 9:30 AM