PASUKAN Eropah meraikan kemenangan Piala Solheim.
PASUKAN Eropah meraikan kemenangan Piala Solheim.
AFP

PASUKAN Eropah merampas kembali gelaran Piala Solheim dengan kemenangan 14.5-13.5 ke atas Amerika Syarikat di Gleneagles awal pagi ini.

Pemain wildcard dari Norway Suzann Pettersen memastikan pukulan putt kemenangan pada perlawanan terakhir di lapangan ini, menjadikannya birdie pada lubang ke-18 untuk menewaskan Marina Alex ‘one-up’ dalam final dramatik menerusi saingan paling sengit.

Ia adalah kekalahan pertama buat kapten AS Juli Inkster - dan tiga kemenangan daripada tiga kejohanan di Scotland buat pasukan Eropah selepas menjuarainya di Dalmahoy (1992) dan Loch Lomond (2000).

“Ia menakjubkan,” kata kapten Eropah dari Scotland Catriona Matthew selepas Eropah meraih kemenangan pertama sejak 2013.

“Saya sedar yang beberapa perlawanan terakhir akan menjadi amat penting.”

Suzann, yang baru menjadi seorang ibu dan jarang bermain dalam tempoh dua tahun, mencetus kontroversi selepas terpilih selaku pemain wildcard.

“Namun saya sentiasa yakin terhadapnya,” kata Catriona.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 1:44 AM