Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Kontinjen Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET), Lumut , merangkul 4 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa untuk muncul juara Kejohanan Karnival Sukan Pelajar UniKL Ke-11 baru-baru ini.

UniKL MIMET mengatasi pencabar terdekat UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Selangor kedua, manakala ketiga milik UniKL Malaysian of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET), Melaka.

Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup Kampus merangkap Ketua Pasukan UniKL MIMET Proffesor Madya Dr Mohd Yuzri Mohd Yusop teruja dengan kejayaan mengubati kekecewaan sejak 10 tahun lalu selepas merampas gelaran juara bertahan daripada UniKL MIAT.

Sebahagian daripada 148 atletnya adalah muka baru dan kelebihan latihan intensif selama sebulan bersama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) serta semangat berpasukan antara kakitangan dan atlet membolehkan mereka bergelar juara temasya kali ini.

“Walaupun gagal mencapai sasaran memenangi 6 emas, saya berpuas hati dan janji pemain untuk memberikan persembahan terbaik dalam semua acara sudah ditepati.

“Emas disumbangkan dalam acara bola sepak, futsal lelaki, badminton berpasukan dan dart (berpasukan),” katanya pada Majlis Penutup Kejohanan Karnival Sukan Pelajar UniKL ke-11 di Dewan Khatulistiwa UniKL MIMET, Lumut.

2 perak UniKL MIMET dimenangi menerusi futsal wanita dan tenis manakala 2 gangsa dalam bola tampar wanita dan ragbi. Kemenangan itu membolehkan kontinjen UniKL MIMET membawa pulang wang tunai RM50,000 serta piala pusingan.

Kejohanan tiga hari itu disertai 1,800 atlet yang mewakili 12 kampus UniKL seluruh negara dengan 14 acara dipertandingkan antaranya bola sepak, bola tampar, bola jaring, badminton dan futsal di Pusat Sukan UniKL serta sekitar Manjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 10:32 AM