KETANGKASAN Fatin di padang futsal.
KETANGKASAN Fatin di padang futsal.
Hafiz Ithnin


"KETIKA kanak-kanak, saya selalu bermain bola dengan abang dan adik saya. Mungkin dari situ bermula minat bermain bola sepak," kata atlet berusia 30 tahun itu kepada penulis tatkala ditanya mengenai permulaan terbitnya minat dalam sukan itu.

Malah, bapanya juga seorang yang aktif bermain bola menyebabkan dia berasakan bola sepak begitu dekat dengan jiwanya meskipun pada awalnya menjadi atlet badminton.

Terus berkongsi cerita ketika di zaman bangku sekolah, atlet futsal wanita Malaysia, Fatin Shahida Azmi berkata, di waktu lapang dia gemar bermain bola sepak padang bersama rakan-rakan lelaki.

"Ya, saya seorang sahaja perempuan ketika zaman sekolah yang bermain bola sepak dengan lelaki. Mungkin ketika itu orang berasakan bola sepak hanya untuk lelaki.

"Kini minda masyarakat mula terbuka apabila sudah ada pemain bola sepak atau futsal dalam kalangan remaja yang menceburi arena ini," katanya.

Fatin berkata, sukan tidak sepatutnya diletakkan sempadan jantina kerana ia membabitkan kecergasan dan mampu memberi kesan baik kepada diri individu.

"Kini kita sudah boleh lihat perempuan bermain bola sepak atau futsal. Manakala, bagi bola jaring yang sinonim dengan sukan wanita sudah mempunyai kategori lelaki.

"Ertinya keterbukaan dalam bidang sukan itu sudah ada. Sebagai masyarakat kita perlu terbuka kerana sukan adalah aktiviti kecergasan," katanya.

Fatin berkata, perjalanannya sebagai atlet futsal kebangsaan bukan sesuatu yang mudah kerana dia bermula secara serius dalam sukan bola sepak selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ketika di sekolah menengah saya adalah pemain badminton dan pernah menyertai Sukma 2008. Ketika itu saya berada di tingkatan lima.

"Namun, minat saya dalam bola sepak tetap tidak pudar walaupun prestasi saya dalam badminton boleh dikatakan baik. Ketika itu saya di Terengganu dan permainan bola sepak padang atau futsal, wanita tidak ramai menyertainya," katanya.

Jelasnya, pada usianya 19 dia berhijrah ke Kuala Lumpur dan berlatih bola sepak padang di Universiti Malaya (UM). Bakatnya mula dihidu jurulatih dan akhirnya dipilih menyertai pasukan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MMPJ).

"Pada 2011 saya dipilih menjadi pemain bola sepak kebangsaan dan pada 2012 saya diserap masuk ke skuad futsal wanita kebangsaan.

"Sebenarnya asas bola sepak padang dan futsal adalah sama. Jadi, bagi mereka yang bermain bola sepak padang boleh bermain futsal," katanya.

Melihat kejayaan Fatin bersama pasukannya sejak 2008, ternyata sudah banyak memperoleh pingat antaranya pada 2013 membawa pulang pingat gangsa Sukan Sea di Myanmar.

Ditanya adakah sukan bola sepak menjadikannya seorang yang lasak? Jawab Fatin, apabila seseorang itu menyertai bidang sukan sudah semestinya perlu mempunyai kekuatan mental dan fizikal.

"Latihan secara intensif perlu dilakukan sama ada secara berpasukan atau peribadi. Seperti saya sendiri, jadual saya lima hari adalah padat dengan berkerja dan berlatih.

"Jadi, perkara itu menjadikan kita lebih berdisiplin dan lasak untuk mempersiapkan diri bagi menyertai sebarang kejohanan yang akan datang," katanya.

Katanya, meskipun begitu bola sepak atau futsal tidak mengubah peribadi seorang wanita biarpun sukan itu sering dikaitkan dengan lelaki.

"Seperti saya katakan sukan itu adalah aktiviti kecergasan. Jadi, apabila kita di luar padang peribadi wanita itu tetap dikekalkan.

"Lasak hanya berlatih dan berdepan dengan pasukan pencabar. Jika kita tidak kuat dari segi mental dan fizikal, sudah pasti sukar untuk memperoleh kemenangan," katanya.

Fatin berkata, dia amat berharap lebih ramai wanita menyertai sukan bola sepak padang atau futsal kerana negara masih kekurangan pelapis.

"Jika ada anak-anak perempuan yang berminat menyertai sukan bola sepak padang atau futsal, saya berharap ibu bapa memberi galakkan kepada mereka.

"Perkara ini kerana untuk kanak-kanak ibu bapa atau keluarga memainkan peranan penting supaya bakat mereka dapat diasah," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 7:00 AM