SOUTHGATE menyandarkan harapan kepada pemain muda. — FOTO AFP
SOUTHGATE menyandarkan harapan kepada pemain muda. — FOTO AFP
Reuters

GENAP tiga tahun sejak Gareth Southgate mengendalikan perlawanan pertamanya bersama England dan tidak ramai dalam kalangan 81,000 penonton yang menyaksikan pasukannya menundukkan Malta 2-0 di Wembley ketika itu percaya beliau boleh kekal lama.

Tugas itu dipegang oleh bekas jurulatih skuad B-21 England susulan pemecatan Sam Allardyce selepas hanya 67 hari. Allardyce menjadi mangsa wartawan akhbar yang menyamar.

Southgate pada awalnya diberi peranan sebagai pengurus sementara untuk mengemudi England pada waktu sukar susulan kekalahan mengaibkan kepada Iceland di bawah bekas pengurus Roy Hodgson pada Euro 2016 di Perancis.

Tiga tahun berlalu dan Southgate sudah mengubah England daripada menjadi bahan jenaka kepada pasukan yang digeruni dan mampu meledak banyak gol sekali gus muncul antara pasukan pilihan untuk memenangi Euro 2020.

ENGLAND terkandas pada separuh akhir Piala Dunia 2018 di tangan Croatia. — FOTO Agensi
ENGLAND terkandas pada separuh akhir Piala Dunia 2018 di tangan Croatia. — FOTO Agensi

Dalam 37 perlawanan kendaliannya, beliau menang 21, seri sembilan dan kalah tujuh.

Lebih penting beliau percayakan pemain muda, menggalakkan permainan memukau dan pantas serta bertindak secara bermaruah ketika menang atau kalah.

Beliau kini muncul pengurus England paling popular sejak Terry Venables mengemudi pasukan kebangsaan ke separuh akhir Euro 1996 di laman sendiri.

England sudah meledak 19 gol dalam empat aksi kelayakan Euro 2020 dan mereka berdepan Republik Czech awal pagi Sabtu ini serta Bulgaria tiga hari kemudian ketika ramai meramalkan mereka boleh menang kedua-dua aksi itu untuk memastikan tempat ke pusingan akhir.

HARRY Kane (tengah) meledak hatrik ketika menentang Bulgaria bulan lalu. — FOTO uefa.com
HARRY Kane (tengah) meledak hatrik ketika menentang Bulgaria bulan lalu. — FOTO uefa.com

Kejayaan mara ke separuh akhir Piala Dunia satu pencapaian membanggakan dan kini peminat England kembali menyokong pasukan kebangsaan.

Jika sebelum ini pasukan itu menjadi bahan untuk dipersendakan selain cemuhan, pasukan Southgate kini menjadi sumber kebanggaan.

“Hakikat pasukan ini kembali mendapat kepercayaan penyokong satu aspek paling menggembirakan dalam beberapa tahun terakhir,” katanya ketika beliau mempersiapkan pemainnya di St George’s Park.

“Amat penting bagi saya kami bermain dengan gaya yang disukai penyokong. Kami sedar ada beberapa pemain muda yang bagus tampil dan kami menduduki ranking keempat atau kelima dunia dalam tempoh 12 bulan terakhir kerana memperagakan persembahan baik secara konsisten.”

SANCHO (kanan) antara bintang muda sedang meningkat Three Lions. — FOTO AFP
SANCHO (kanan) antara bintang muda sedang meningkat Three Lions. — FOTO AFP

Di bawah Southgate, pemain seperti Trent Alexander-Arnold, Jadon Sancho dan Declan Rice semuanya pantas diserapkan dalam pasukan utama, manakala pemain Chelsea, Mason Mount melakukan penampilan sulung penuh menentang Bulgaria bulan lalu dan rakan sepasukan Fikayo Tomori menyertai skuad semasa.

Seorang lagi pemain remaja Chelsea, Tammy Abraham dijangka menerima aksi kompetitif pertamanya selepas dipanggil susulan permulaan musim mengagumkan yang mana dia menjaringkan lapan gol dalam Liga Perdana Inggeris.

“Tammy penjaring terbanyak Inggeris dalam liga jadi tidak hairan dia diberi peluang segera untuk menyertai skuad ini,” kata Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 10:31 AM