MCNAIR meraikan jaringan gol keduanya.
MCNAIR meraikan jaringan gol keduanya.
AFP

PADDY McNair menjaringkan dua gol untuk memberikan keyakinan buat Ireland Utara menjelang aksi kelayakan Euro 2020 ketika berjaya menewaskan Republik Czech 3-2 dalam aksi persahabatan di Prague awal pagi tadi.

Pemain tengah Middlesbrough itu membuka jaringan, seawal minit kesembilan apabila berjaya menyekat hantaran pemain Republik Czech dan menewaskan penjaga gol Jiri Pavlenka menerusi rembatan rendah dengan kaki kirinya.

Pertahanan Leicester City Jonny Evans menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-23 menerusi lantunan bola ketika pertahanan Czech mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan bola itu selepas sepakan sudut.

Republik Czech membuat sepuluh pertukaran daripada senarai awal ketika menang 2-1 ke atas England Sabtu lalu pada kelayakan Euro 2020.

McNair menambah jaringan lima minit sebelum tamat separuh masa pertama, memecut dari bahagian tengah dan memperdayakan Pavlenka sebelum meledak jaringan.

Berada di tangga ketiga Kumpulan C, Ireland Utara akan menanti kunjungan Belanda pada 16 November sebelum berdepan Jerman di tempat lawan tiga hari kemudian.

Mereka ketinggalan tiga mata berbanding kedua-dua pasukan itu. Ketiga-tiga pasukan itu mempunyai baki dua perlawanan.

Republik Czech pula akan menentang Kosovo di laman sendiri sebelum aksi kelayakan terakhir di Bulgaria.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 10:16 AM