SKUAD futsal Terengganu meraikan kejayaan selepas menumpaskan KL City FC  di Stadium Negeri.  - FOTO Malik Muhammad
SKUAD futsal Terengganu meraikan kejayaan selepas menumpaskan KL City FC di Stadium Negeri. - FOTO Malik Muhammad
Malik Muhamad


TERENGGANU tidak berdepan masalah mengutip tiga mata selepas menumpaskan KL City FC 4-2 dalam aksi Liga Perdana Futsal Malaysia di Stadium Negeri, sebentar tadi.

KL City FC yang kini menghuni tangga tercorot liga mengejutkan tuan rumah dengan jaringan pertama menerusi kapten, Muhammad Addli Che Husin ketika permainan baharu lima saat dimulakan.

Jaringan itu terhasil menerusi lambungan mengelirukan pemain itu dari bahagian tengah ketika penjaga gol, Mohd Zikry Aiman Zamri tersilap langkah.

Selepas jaringan itu skuad Terengganu bimbingan Mohd Rozairi Ahmad mendominasi permainan untuk mencari jaringan penyamaan, namun aksi bertahan diperagakan pelawat menggagalkan usaha memburu gol.

Jaringan dicari akhirnya terhasil menerusi rembatan kencang kapten, Amirrul Izzad Adang berpunca hantaran silang Mohd Hafizi Ismail pada minit ke-14.

Selepas jaringan itu skuad The Turtles kian bernafsu dengan terus mengasak sebelum memperolehi gol kedua menerusi rembatan pemain tengah, Sirhan Aiman Saifulbahrim pada minit ke-19 untuk mendahului 2-1.

Hasil kesilapan pertahanan pelawat, Muhammad Alif Mat Amin memanfaatkan peluang terhidang untuk menambah jaringan ketiga pasukan pada minit ke-27 untuk mengukuhkan kedudukan 3-1.

Ahmad Akil Khalis Adli Khairuz yang muncul pemain terbaik perlawanan meledak jaringan keempat Terengganu pada minit ke-30 selepas hantaran Azlan Nasti Azwar menerusi sepakan percuma singgah di kaki pemain itu sebelum melepaskan rembatan sekali gus menambah derita pelawat.

Ketika permainan berbaki enam minit sebelum ditamatkan, pelawat berjaya meledak gol kedua menerusi T Dharmmesh hasil tolakan mudah di sebelah kanan pintu gol untuk merapatkan kedudukan.

Terengganu kini mengumpul 18 mata di kedudukan keempat liga manakala KL City kekal di tangga terbawah dengan hanya mengutip tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 7:57 PM