AYATA (kiri) mengharapkan usaha gigihnya bersama skuad hijau kuning membuahkan hasil pada musim ini. FOTO Ihsan KDA FC
AYATA (kiri) mengharapkan usaha gigihnya bersama skuad hijau kuning membuahkan hasil pada musim ini. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Rabih Ataya mahu pastikan momentum terbaik dirinya dapat dicapai dalam baki lima perlawanan Liga Super dan Liga Malaysia (Liga M) yang akan diharungi KDA FC selepas ini.

Berdepan PJ City di Stadium MBPJ malam esok, pemain berusia 32 tahun kelahiran Lubnan ini berharap skuadnya dapat terus mengutip mata penuh bagi memastikan jumlah mata yang diperlukan untuk berada pada kedudukan terbaik musim ini.

"Saya mahu berusaha untuk meletakkan KDA FC pada kedudukan terbaik pada musim ini dan KDA FC sudah mencapainya pada musim lalu apabila menduduki tangga kedua carta dan saya berharap pasukan sekurang-kurangnya sekali lagi dapat kekalkan kedudukan itu pada musim ini.

"Saya juga memiliki sasaran sendiri dengan mahukan pencapaian pada tahap terbaik buat pasukan KDA FC dan saya berharap dapat disumbangkan untuk pasukan pada musim ini.

"Kita ada lima lagi baki perlawanan liga super dan kita perlu terus berusaha mendapat kemenangan dan perlu elak daripada mencicirkan mata," katanya.

Menyentuh mengenai prestasi semasa, Ataya berkata skuad KDA FC juga tidak mudah mengatasi cabaran sengit yang dihadapi kerana kini bersaing rapat dengan TFC yang turut memiliki jumlah mata yang tinggi dan berada di kedudukan kedua setakat ini.

"Kita tahu TFC memiliki jumlah mata yang tinggi pada carta Liga Super dan mereka juga dapat memberi cabaran yang baik dalam perlawanan yang sukar ketika kami bertemu beberapa hari lalu, tetapi apa yang lebih penting adalah kemenangan yang dicapai untuk memastikan kita mendapat tiga mata.

"Saya gembira dan bersyukur kerana dapat memberi sumbangan gol pertama pertama musim ini untuk Kedah pada perlawanan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 2:40 PM