Sebahagian atlet kanu slalom pada sesi pemilihan baru-baru ini.
Sebahagian atlet kanu slalom pada sesi pemilihan baru-baru ini.

SERAMAI 25 atlet kanu senior dan muda diserap sebagai pelatih kebangsaan bagi disiplin slalom selepas melepasi sesi pemilihan atlet kanu negara di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.

Sesi pemilihan dianjurkan Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) dengan kerjasama Fakuti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu mendapat sambutan amat menggalakkan.

Penyelaras Kanu Slalom MASCA, Dr Jaffry Zakaria berkata, usaha itu giat dijalankan dalam memastikan setiap disiplin sukan kanu mendapat layanan sama rata.

"Kami mengambil inisiatif ini demi memperkasakan pembangunan kanu slalom di Malaysia dengan harapan ia dapat berkembang ke seluruh negeri.

"Daripada sesi pemilihan kali ini, kami mengenal pasti 25 atlet campuran senior dan muda yang akan diserap sebagai pelatih kebangsaan," katanya.

Selain slalom, kanu mempunyai tiga disiplin utama lain iaitu lumba bot tradisional (TBR), kanu pecut dan kanu polo.

Namun, hanya dua disiplin iaitu TBR dan kanu pecut yang dipertandingkan pada Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Bagaimanapun Jaffry berkata, ia tidak bermakna pembangunan disiplin itu akan diketepikan ketika mereka perlu membuat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Sepanyol, September ini.

"Pelatih yang dipilih ini perlu menjalani latihan secara berfasa dan apabila tiba kejohanan utama kami hanya akan membawa yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 9:57 AM