SYAHIDA Asyiqin  menerima ciuman tahniah dari ibunya, Rabidah Said, 57 selepas meraih empat emas.  FOTO Mohd Fadli Hamzah
SYAHIDA Asyiqin menerima ciuman tahniah dari ibunya, Rabidah Said, 57 selepas meraih empat emas. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Affan Rostam


Putrajaya: Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) mengesahkan 13 rekod kebangsaan yang berjaya dilakukan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 adalah sah sekali gus merungkai tanda tanya segelintir pihak sebelum ini.

Presiden MASCA, Datuk Michael Wong berkata, pengesahan itu dibuat selepas perbincangan lanjut dengan beberapa pihak termasuk Persekutuan Kanu Asia yang turut bersetuju dengan rekod kebangsaan terbabit.

"Kami di sini sudah berbincang dengan ketua deligasi teknikal dan pengarah pertandingan. Selain itu, kami juga ada bermesyuarat secara dalam talian dengan Persekutuan Kanu Asia semalam, di mana rekod ini diambil kira (turut dipakai) daripada Sukma lalu.

"Sehingga hari ini, kita sahkan ia diambil kira sebagai rekod kebangsaan dan bukannya catatan masa terbaik seperti mana diberitahu sebelum ini. Selama ini ada pertanyaan, adakah ia rekod ataupun catatan masa terbaik. "Jadi, ada perbezaan di situ dan disebabkan itu juga, hari ini kita mengesahkan ia sebagai rekod kebangsaan," kata Michael dalam satu sidang media pada hari penutup sukan kanu dipertandingkan, hari ini. Seramai 147 atlet daripada 11 negeri menyertai acara kayak yang berlangsung dari 18 September hingga hari ini selain turut mempertandingkan acara slalom YOG serta lumba perahu tradisional dengan jarak 1,000 meter (m), 500m dan 200m.

Daripada 33 acara dipertandingkan kali ini, 13 rekod kebangsaan dan 15 rekod Sukma (tidak diambil kira memandangkan temasya kali ini di bawah 23 tahun) berjaya diperbaharui.

Bagi kategori wanita, lapan rekod kebangsaan berjaya dipecahkan manakala kategori lelaki pula menyaksikan lima rekod kebangsaan dilakar.

Dalam pada itu, Michael turut menyatakan pihaknya mengemukakan dua atlet daripada sukan kanu iaitu Mohd Fakhrullah (Johor) dan Syahida Asyiqin Rusli (Terengganu) dicalonkan sebagai olahragawan dan olahragawati Sukma edisi ke-20 ini.

"MASCA akan mencalonkan dua atlet untuk anugerah olahragawan, Fakhrullah yang memecahkan rekod kebangsaan dan meraih tujuh emas. Untuk wanita adalah Syahida yang meraih empat emas dan empat rekod kebangsaan.

"Dua calon ini kita akan kemukakan kepada Majlis Sukan Negara kerana semalam, kami dimaklumkan untuk menyenaraikan calon olahragawan dan calon olahragawati. Kami percaya dan yakin calon ini akan datang daripada sukan kanu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 6:04 PM