PESERTA diajar secara praktikal mengenai morfologi sungai bagi mengenal pasti keadaan, perubahan dan struktur sekitarnya.
PESERTA diajar secara praktikal mengenai morfologi sungai bagi mengenal pasti keadaan, perubahan dan struktur sekitarnya.
Ummu Farah Haidar Zulkifli


AKTIVITI rekreasi membabitkan sukan air sememangnya mempunyai ramai peminat di negara ini.

Selain kayak, kanu slalom juga antara kegiatan yang semakin mendapat perhatian.

Namun, biarpun kelihatan sama, tetapi tidak ramai yang mengetahui bahawa kanu slalom sebenarnya agak berbeza daripada kanu rekreasi biasa.

Kanu slalom memerlukan teknik dayungan dan kemahiran tersendiri yang perlu diasah melalui latihan khusus serta penumpuan teliti.

Justeru, bagi memberikan pendedahan kepada penggemar aktiviti itu, Persatuan Kanu Malaysia (Masca) menganjurkan Kursus Kepegawaian dan Teknikal Kanu Slalom Wanita Peringkat Kebangsaan di Tanjung Malim, Perak.

Lebih menarik, kursus berkenaan hanya membabitkan peserta wanita dari seluruh negara.

Ia bertujuan melatih dan memberikan pendedahan kepada penggiat sukan mengenai peraturan dan undang-undang berkaitan disiplin kanu slalom.

Antara objektif lain adalah melahirkan lebih ramai pelapis bagi Pegawai Teknikal Kebangsaan (National Technical Officer (NTO) untuk acara berkenaan dalam kalangan wanita.

Ia juga untuk menarik minat wanita bagi menceburi bidang kepegawaian dalam sukan air.

Sebagai penggiat aktiviti dan sukan lasak, penulis turut tidak melepaskan peluang menyertai kursus berkenaan bersama peminat sukan air lain.

Menerusi kursus berkenaan, kami didedahkan dengan kelas teori mengenai peraturan serta undang-undang terkini di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Kursus terbabit dirasmikan Presiden Masca, Raja Shahrul Azremel Raja Sahar.

Selain itu, peserta juga diajar secara praktikal mengenai morfologi sungai bagi mengenal pasti keadaan, perubahan dan struktur sekitarnya.

Pengetahuan itu penting terutama dalam penyediaan tempat pertandingan dan pemasangan palang laluan yang dipanggil 'gates' (berwarna merah putih atau hijau putih) dengan jarak tertentu.

Ini kerana palang dan laluan yang disediakan perlu mengikut panduan ditetapkan International Canoe Federation (ICF).

Ia perlu mengambil kira halangan, tahap kesukaran, arus dan paras air semasa selaras dengan peraturan ditetapkan.

Dalam pada itu, program berkenaan juga diadakan serentak dengan pemilihan atlet bagi mewakili Malaysia untuk temasya akan datang.

Keadaan cuaca dan arus sungai yang baik membantu kelancaran program pemilihan berkenaan.

Bagi penulis pula, walaupun tampil dengan imej Muslimah berniqab, ia bukan halangan untuk menyertai aktiviti rekreasi dan sukan lasak.

Ini kerana menutup aurat dengan sempurna adalah jihad kecil bagi penulis dalam menyebarkan mesej bahawa pakaian bukan halangan untuk seseorang Muslimah itu bergiat aktif dalam sukan diminati.

Malah nilai Islam seharusnya perlu diangkat dalam apa jua situasi.

Sementara itu, pada program sama, ujian bertulis turut diberikan kepada peserta bagi menentukan kelayakan sebagai calon Pegawai Teknikal.

Peserta yang lulus turut diberikan sijil oleh pihak Masca.

Secara keseluruhannya, program itu bukan sahaja dapat memberi pendedahan, malah menjadi medium untuk memperkenalkan lokasi sukan air di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 7:01 AM