KHAIRUL Hafiz hanya mencatat 10.70s di Napoli, awal pagi tadi. — FOTO Yazit Razali
KHAIRUL Hafiz hanya mencatat 10.70s di Napoli, awal pagi tadi. — FOTO Yazit Razali
Aida Adilah Mat


PERMULAAN yang mengecewakan tetap satu perkembangan positif buat pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan pada penyertaan sulungnya di Sukan Universiti Dunia di Napoli, Itali, awal pagi tadi.

Selepas tujuh bulan tidak beraksi kerana dibelenggu kecederaan pelari yang dikenali dengan julukan The Speedy Jantan itu mencatat 10.70 saat untuk menduduki tangga keempat pada peringkat saringan sekali gus gagal ke separuh akhir.

Bagaimanapun nasib berbeza buat Jonathan Nyepa yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat apabila dia beraksi pada separuh akhir awal pagi esok selepas merakam 10.47s bagi tangga keempat peringkat saringan.

Bagi jurulatih Khairul Hafiz, Mohd Poad Md Kassim beliau memang sudah menduga keputusan yang dilakukan oleh anak didiknya itu.

Malah beliau tidak mahu memberi tekanan buat pemegang rekod kebangsaan itu namun berharap Khairul Hafiz belajar daripada kesilapan dan memperbaiki kelemahan.

“Alhamdulillah pengalaman terbaik Khairul selepas berehat lama atas sebab kecederaan.

“Persiapan hanya tiga minggu memang tak cukup tapi yang penting kaki dia sudah pulih dan ini boleh memberi keyakinan balik kepada dia, insya-Allah,” kata Poad.

Bagaimanapun pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur itu tidak mempunyai banyak masa ketika temasya Sukan SEA Filipina hanya berbaki empat bulan dan seteru utamanya Lalu Mohamad Zohri sudah mencatat 10.03s seterusnya layak ke temasya Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 12:21 PM