POAD mahu Khairul catat masa peribadi terbaik di Sukan Perpaduan Islam.
POAD mahu Khairul catat masa peribadi terbaik di Sukan Perpaduan Islam.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki, Khairul Hafiz Jantan kini bersedia untuk kembali menggegarkan trek apabila dijadualkan beraksi di Sukan Perpaduan Islam di Konya, Turki dari 8 hingga 18 Ogos ini.

Bakal beraksi dalam acara kegemarannya selain 4x100m, pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur itu 2017 dimaklumkan berada dalam keadaan terbaiknya ketika ini.

Begitupun jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim tidak meletakkan sasaran tinggi kepada atlet kelahiran Melaka itu sebaliknya mahu Khairul atau lebih dikenali dengan julukan The Speedy Jantan memperbaiki catatan masa terbaik peribadi. "Saya tak letakkan sasaran untuk pingat sebab ini kali pertama dia akan beraksi di kejohanan berkenaan. Kami juga masih tak tahu standard pertandingan itu bagaimana. Tapi yang pasti saya mahu dia layak ke final dalam setiap acara yang akan disertai," kata Poad.

Kali terakhir Khairul beraksi ketika di Kejohanan Kuala Lumpur All Comers pada Mac lalu dan menamatkan larian di kedudukan kelima dengan catatan masa 10.74s sekali gus gagal melayakkan diri beraksi di temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam.

Catatan terbaik yang direkodkan Khairul tahun ini adalah 10.56s ketika di Terbuka KL.

"Sekarang ini tahap fizikal Khairul dalam keadaan baik dan tiada masalah untuk dia atasi masa 10.60s itu. Saya harap dia boleh buat yang terbaik dan kembali menguasai acara pecut," katanya.

Untuk rekod, Khairul mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan milik Watson Nyambek dalam acara riben biru itu di Sukan Malaysia Kuching pada 2016 dengan catatan 10.18s.

Bagaimanapun, prestasinya mula merudum selepas itu rentetan kecederaan demi kecederaan yang dialami.

Selain Khairul, turut bersama-sama kontinjen negara ke Konya adalah Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Arsyad Md Saat.

Haiqal turut beraksi dalam acara 100m dan 4x100m manakala Arsyad akan beraksi dalam 200m dan 4x100m.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 4:10 PM