ALEX (dua kiri) menjaringkan gol kedua AS pada separuh akhir. — FOTO Reuters
ALEX (dua kiri) menjaringkan gol kedua AS pada separuh akhir. — FOTO Reuters
AFP

AMERIKA Syarikat menuju final Piala Dunia Wanita menentang Belanda malam esok dengan penuh kontroversi susulan cara sambutan penyerangnya, Alex Morgan yang membuat gaya minum teh sejurus meledak gol menentang England.

Alex, yang berada dalam skuad AS yang mencipta sejarah mara ke final ketiga berturut-turut menjadi tumpuan sejak kemenangan 2-1 pasukannya ke atas England pada separuh akhir, Rabu lalu.

Sama ada ia cubaan untuk ‘menyakat’ England yang terkenal menggemari teh, atau tidak bermaksud demikian, tindakan pemain berusia 30 tahun itu jelas mencuri tumpuan media.

“Anda melihat pelbagai gaya meraikan gol yang dibuat oleh pemain lelaki di seluruh dunia dalam kejohanan besar, mereka memegang alat sulit atau apa saja, apabila saya melakukan gaya minum teh, saya agak terkejut dan anda perlu ketawa mendengar semua kritikan,” kata Alex.

ALEX meraikan jaringannya dengan gaya minum teh sekali gus mencetus kontroversi. — FOTO EPA
ALEX meraikan jaringannya dengan gaya minum teh sekali gus mencetus kontroversi. — FOTO EPA

Sekalipun Alex meledak lima gol termasuk ketika membenam Thailand 13-0 pada peringkat kumpulan, rakan sepasukannya Megan Rapinoe dianggap sebagai bintang utama kejohanan setakat ini.

Pemain tengah berambut merah jambu itu meledak gol dalam semua perlawanan termasuk menentang Sepanyol dan Perancis sebelum tersisih ketika melawan England disebabkan kecederaan hamstring.

Megan berkata, dia sepatutnya cergas untuk disenarai jurulatih, Jill Ellis bagi aksi di Lyon ketika AS menyasarkan gelaran keempat Piala Dunia dalam lapan edisi kejohanan.

Kemenangan akan mengukuhkan status AS sebagai kuasa besar bola sepak dunia tetapi ia turut mencetus persoalan adakah pasukan itu akan menerima tawaran lawatan ke Rumah Putih daripada Presiden AS, Donald Trump.

“Untuk berada di tiga final Piala Dunia, ia mengagumkan,” kata pemain veteran, Carli Lloyd, yang meledak hatrik ketika final edisi 2015 menewaskan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 1:56 PM