KANE (tengah) melengkapkan hatrik pada babak pertama di Wembley. — FOTO Reuters
KANE (tengah) melengkapkan hatrik pada babak pertama di Wembley. — FOTO Reuters
Reuters

HARRY Kane meledak hatrik babak pertama ketika England menempah tiket ke pusingan akhir Euro 2020 sebagai juara kumpulan selepas membelasah Montenegro 7-0 di London, awal pagi tadi.

England mendahului Kumpulan A dengan 18 mata dan berbaki satu perlawanan. Aksi separuh akhir dan final pusingan akhir kejohanan tahun depan akan diadakan di Stadium Wembley.

Montenegro, terikat tiga mata dengan Bulgaria di tangga tercorot, tidak banyak menguji keupayaan anak buah Gareth Southgate bagi kejohanan itu yang bermula Jun depan, namun jumlah 33 gol England daripada tujuh perlawanan jelas membuktikan kehebatan mereka di bahagian serangan.

“Kami memenangi kumpulan yang patut kami kuasai tapi kami memenanginya dengan selesa dan kami menemui cara bermain menentang pasukan bawahan yang lebih kerap bertahan,” kata Southgate.

RASHFORD meraikan jaringannya yang juga gol keempat England. — FOTO EPA
RASHFORD meraikan jaringannya yang juga gol keempat England. — FOTO EPA

“Kami menemui cara bagaimana untuk memecah benteng mereka, yang mana mungkin sebelum ini kami gagal,” ujarnya.

Southgate sekali lagi meletakkan kepercayaan kepada pemain remaja, dengan purata usia kesebelasan utama 23 tahun 255 hari, pasukan termuda Three Lions sejak 1959.

Alex Oxlade-Chamberlain, kariernya bersama pasukan kebangsaan terjejas kerana kecederaan, meletakkan England di depan pada minit ke-11, merembat leret ke penjuru gol selepas menyambut hantaran lambung pertahanan kiri Ben Chilwell.

Pemain Leicester City, Chilwell mencipta gol kedua tujuh minit kemudian menerusi sepakan percuma yang ditanduk masuk Kane. Kane kemudian menanduk masuk gol ketiga susulan sepakan sudut Chilwell.

ABRAHAM (tengah) meledak gol sulung bersama pasukan kebangsaan England. — FOTO AFP
ABRAHAM (tengah) meledak gol sulung bersama pasukan kebangsaan England. — FOTO AFP

Penyerang Manchester United, Marcus Rashford merembat masuk gol keempat selepas penjaga gol Montenegro, Milan Mijatovic menumbuk keluar tandukan Harry Maguire.

Kane melengkapkan hatriknya pada minit ke-37 dengan pusingan badan yang mengelirukan sebelum merembat leret ke penjuru bawah gol ketika England mendahului 5-0 sebelum rehat.

“Kami kalah sekali dalam kumpulan sebelum ini tapi berjaya bangkit. Melaksanakan tugas dengan baik dan mahu mempamerkan sesuatu pada perlawanan antarabangsa ke-1,000 kami dan dengan lima gol pada babak pertama saya fikir kami berjaya menyempurnakannya,” kata Kane, yang melonjak ke tangga kelima dalam senarai penjaring terbanyak England sepanjang zaman.

Jaringan Mason Mount dibatalkan kerana ofsaid namun gol sendiri Aleksandar Sofranac menjadikan kedudukan 6-0 selepas pergelutan dalam kotak penalti.

Pemain gantian Tammy Abraham meraih gol pertamanya bersama England enam minit sebelum tamat apabila menampan masuk hantaran leret Jadon Sancho dari jarak dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 7:59 AM