REGRAGUI dijulang pemain Maghribi selepas menewaskan Portugal, sekali gus menjadi pasukan Afrika pertama layak ke separuh akhir Piala Dunia. FOTO Reuters
REGRAGUI dijulang pemain Maghribi selepas menewaskan Portugal, sekali gus menjadi pasukan Afrika pertama layak ke separuh akhir Piala Dunia. FOTO Reuters
AFP

Doha: Jurulatih Maghribi, Walid Regragui memuji semangat melawan anak buahnya yang dibelenggu kecederaan selepas mereka menewaskan Portugal, 1-0, malam ini, untuk muncul pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Tandukan Youssef En-Nesyri di hujung babak pertama memastikan Singa Atlas itu mara ke kelompok empat terakhir dan akan menentang pemenang perlawanan antara juara bertahan, Perancis dan England.

"Kami menentang pasukan Portugal yang hebat. Kami berjuang dengan apa yang ada, ramai pemain masih cedera. Saya beritahu pemain sebelum perlawanan, kami perlu menulis sejarah untuk Afrika. Saya sangat gembira," kata Regragui kepada televisyen Perancis, TF1.

Regragui yang juga bekas pemain antarabangsa Maghribi kelahiran Perancis sudah mencipta sejarah peribadi apabila muncul jurulatih Afrika pertama membimbing pasukan mara ke suku akhir Piala Dunia.

Maghribi kini menumpaskan tiga pasukan terkuat Eropah di Qatar iaitu Belgium 2-0 di peringkat kumpulan, Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti di pusingan 16 terakhir dan seri 0-0 dengan naib juara 2018, Croatia, pada perlawanan pembukaan.

Pemain sayap, Sofiane Boufal berharap banyak lagi yang akan berlaku.

"Ia memang gila. Kami hidup dan bermimpi dan kami tidak mahu terjaga. Bulu roma saya meremang," katanya.

"Kami berhak mencapai apa yang ada sekarang. Kami bekerja keras dan ia belum berakhir. Ada lagi separuh akhir dan dengan izin Tuhan, final selepas itu."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 2:04 AM