Penyerang Mesir Mohamed Salah (kiri) cuba mengasak pemain DR Congo Elia Meschak pada aksi Piala Negara Afrika. FOTO AFP
Penyerang Mesir Mohamed Salah (kiri) cuba mengasak pemain DR Congo Elia Meschak pada aksi Piala Negara Afrika. FOTO AFP
AFP

MOHAMED Salah menjaringkan gol pertamanya di Piala Negara Afrika ketika tuan rumah mengesahkan tempat ke peringkat 16 terakhir dengan kemenangan 2-0 terhadap Republik Demokratik (DR) Congo, awal pagi ini.

Ahmed Elmohamady membuka jaringan buat Mesir pada minit ke-25 selepas menerima hantaran lintang Salah dan bintang Liverpool itu menyumbat gol kedua sejurus sebelum rehat bagi mencetuskan suasana pesta di Stadium Antarabangsa Kaherah.

Juara tujuh kali, Mesir turut dibantu dengan tuah apabila dua cubaan DR Congo menggegar palang pada babak pertama untuk pendahulu Kumpulan A itu menyertai Nigeria yang menjadi pasukan pertama mara ke peringkat kalah mati.

Mesir turut mengatasi ‘gangguan’ susulan penyingkiran pemainnya, Amr Warda daripada skuad kebangsaan sehari sebelum perlawanan berikutan pertuduhan gangguan seksual.

Warda disisihkan selepas beberapa wanita tampil menunjukkan bukti menerusi tangkapan skrin dan testimoni mengenai komen daripada pemain tengah berkenaan di beberapa platform media sosial.

“Saya fikir pasukan kuat dan skuad ini juga kuat tetapi kami tidak gembira apabila kehilangan ahli keluarga kami,” kata jurulatih Mesir, Javier Aguirre.

“Pasukan lebih fokus terhadap perlawanan kami dan mengharungi 90 minit perlawanan dengan amat serius. Saya tidak fikir pasukan Mesir akan terganggu dengan ketiadaan sesiapapun.”

Pengendali dari Mexico, Aguirre menyenaraikan skuad yang sama ketika mereka menewaskan Zimbabwe 1-0 dengan pertahanan tengah, Ahmed Hegazy terpaksa memakai pelindung muka selepas hidungnya patah pada perlawanan pembukaan.

Sementara, dalam satu lagi aksi Kumpulan A Uganda terikat 2-2 menentang Zimbabwe. Uganda berada ditempat kedua kumpulan dengan empat mata memperolehi jaringan menerusi Emmanuel Okwi minit ke-12 manakala gol penyamaan Zimbabwe dihasilkan oleh Khama Billiat minit ke-40 permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 8:27 AM