KADDU (kanan) menjaringkan gol pertama Uganda di Stadium Antarabangsa Kaherah. — FOTO Reuters
KADDU (kanan) menjaringkan gol pertama Uganda di Stadium Antarabangsa Kaherah. — FOTO Reuters
AFP

UGANDA menamatkan penantian selama 41 tahun untuk meraih kemenangan pada Piala Negara Afrika apabila mereka mengejutkan Republik Demokratik Congo 2-0 pada aksi Kumpulan A di Kaherah, awal pagi tadi.

Kali terakhir pasukan bergelar The Cranes itu menang adalah pada Mac 1978, mengalahkan Nigeria pada separuh akhir sebelum tewas di tangan tuan rumah Ghana pada aksi final.

Uganda tidak layak ke pusingan akhir Piala Negara Afrika hinggalah dua tahun lalu di Gabon apabila mereka hanya mampu seri sekali dalam tiga perlawanan kumpulan.

Mereka mendedahkan kelemahan benteng DR Congo di Stadium Antarabangsa Kaherah untuk meledak gol pada setiap babak menerusi Patrick Kaddu dan Emmanuel Okwi.

OKWI (kiri) bersaing dengan pertahanan DR Congo, Issama Mpeko, awal pagi tadi. — FOTO AFP
OKWI (kiri) bersaing dengan pertahanan DR Congo, Issama Mpeko, awal pagi tadi. — FOTO AFP

Menang dengan dua gol melonjakkan Uganda ke puncak carta kumpulan itu, di depan tuan rumah Mesir menerusi perbezaan jaringan.

Uganda tidak menggambarkan mereka pasukan yang menghuni ranking dunia 31 anak tangga di belakang DR Congo ketika mereka menguasai babak awal dan berhak mendahului pada minit ke-14.

Ketika sepakan sudut diarahkan ke pintu gol, Kaddu meluru meninggalkan pemain yang mengawalnya dan tandukan kencangnya berdekatan gol melepasi penjaga gol Ley Matampi.

Congo bergelut untuk menangani hantaran bola tinggi dan kelemahan mereka terserlah lagi apabila Uganda menjaringkan gol kedua pada minit ke-48 menerusi Okwi yang meledak susulan sepakan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 10:15 AM