AUBAMEYANG
AUBAMEYANG
AFP

Paris: Bintang Borussia Dortmund dan Gabon Pierre-Emerick Aubameyang masih berpeluang mempertahankan gelaran Pemain Tahunan Terbaik Afrika selepas menempatkan dirinya dalam senarai pendek tiga finalis semalam.

Pemain berusia 27 tahun kelahiran Perancis itu akan bersaing dengan pemain sayap Leicester City dan Algeria Riyad Mahrez serta sayap Liverpool dan Senegal Sadio Mane bagi merebut gelaran itu.

Mohamed Salah dari Roma dan Mesir serta Islam Slimani dari Leicester dan Algeria gagal menempatkan diri dalam senarai akhir selepas berada dalam lima pencalonan akhir.

Pemenang akan diumumkan dalam satu majlis anugerah di Abuja, Nigeria, 5 Januari ini.

Kemenangan Aubameyang tahun lalu menamatkan penguasaan empat tahun berturut-turut pemain tengah Ivory Coast Yaya Toure.

Mahrez bagaimanapun berpeluang cerah mengatasinya selepas menikmati musim 2016 yang gemilang dengan membantu Leicester menjuarai gelaran Liga Perdana Inggeris dan memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan pilihan Pemain England.

Pemain tengah Zambia Rainford Kalaba, penyerang Zimbabwe Khama Billiat dan penjaga gol Uganda Denis Onyango adalah tiga calon bagi merebut gelaran pemain Afrika terbaik yang berpangkalan di benua itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:51 AM