SKUAD negara gembira selepas menduduki tangga ketiga di Banbridge. — FOTO ihsan Niz Yusof
SKUAD negara gembira selepas menduduki tangga ketiga di Banbridge. — FOTO ihsan Niz Yusof
Saiful Affendy Sapran


KEJAYAAN meraih tempat ketiga dengan menewaskan Republik Czech pada Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara malam tadi membuka peluang kembali buat skuad negara layak ke kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, penamat ketiga itu dapat membantu memperbaiki ranking skuad negara di kelompok 20 terbaik sekali gus berpeluang cerah layak ke kempen kelayakan berdasarkan ranking.

Ketika ini skuad negara menghuni ranking ke-22 dan kedudukan itu dijangka berubah selepas tambahan mata ranking susulan kejohanan di Banbridge serta Sukan Asia di Indonesia tahun lalu dan ia akan diketahui dua bulan lagi.

“Ada tiga cara untuk layak ke kempen kelayakan. Pertama empat pasukan terbaik di Liga Pro.

PENYERANG negara, Hanis Nadiah Onn (dua kiri) meraikan jaringan ketika bertemu Republik Czech pada penentuan tempat ketiga Pusingan Akhir Siri FIH, malam tadi. — FOTO ihsan Niz Yusof
PENYERANG negara, Hanis Nadiah Onn (dua kiri) meraikan jaringan ketika bertemu Republik Czech pada penentuan tempat ketiga Pusingan Akhir Siri FIH, malam tadi. — FOTO ihsan Niz Yusof

“Kedua, dua pasukan terbaik bagi setiap pusingan di Ireland, Jepun dan Sepanyol dan ketiga adalah empat pasukan dengan ranking terbaik dunia yang tidak layak menerusi Liga Pro dan Pusingan Akhir Siri FIH.

“Ya, peluang ke kempen kelayakan cerah apabila kami mendapat nombor tiga dan semua pemain pun tahu perlawanan semalam cukup penting untuk kami,” katanya.

Jelas Dhaarma, Scotland yang ketika ini menduduki ranking ke-18 dunia akan menjadi sebahagian pasukan Britain sekali gus tidak layak beraksi pada pusingan kelayakan.

“Untuk itu, pasukan yang menduduki ranking 20 terbaik masih mempunyai harapan untuk layak ke kempen kelayakan Sukan Olimpik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 10:00 PM