MUHAMMAD Dhaarma.
MUHAMMAD Dhaarma.
Saiful Affendy Sapran


KEJAYAAN menduduki tangga ketiga pada Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara menyaksikan pengurusan serta skuad hoki wanita negara tidak ‘menganggur’ apabila program latihan mereka diteruskan selepas ini.

Ia bagi membolehkan mereka melakukan persediaan sekiranya layak beraksi pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi slot ranking terbaik yang akan diketahui selepas berakhir semua Pusingan Akhir Siri FIH.

Ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui lega kerana beliau serta pasukan dapat mengetahui hala tuju pasukan bimbingannya selepas ini.

“Inilah perkara yang amat penting apabila kami tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini. Sebab kalau diikutkan program kami mungkin akan berakhir kerana Sukan SEA di Filipina hanya mempertandingkan hoki dalam dewan.

“Saya dimaklumkan oleh Datuk Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara) program kami akan diteruskan.

“Saya juga rasa memang patut diteruskan sebab jika kami tidak berlatih dan tiba-tiba layak ke kempen kelayakan Olimpik, situasi ketika itu pasti lebih sukar,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dari Banbridge hari ini.

Penamat ketiga itu dapat membantu memperbaiki ranking skuad negara di kelompok 20 terbaik sekali gus berpeluang cerah layak ke kempen kelayakan berdasarkan kedudukan ranking.

Ketika ini skuad negara menghuni ranking ke-22 dan kedudukan itu dijangka berubah selepas tambahan mata ranking daripada kejohanan di Banbridge serta Sukan Asia di Indonesia tahun lalu dan ia akan diketahui Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 10:44 PM