Skuad negara di KLIA sebelum berlepas ke Itali. FOTO MDRA
Skuad negara di KLIA sebelum berlepas ke Itali. FOTO MDRA
Saiful Affendy Sapran


PUSINGAN akhir Siri FIH Wanita di Banbridge, Ireland bermula 8 Jun depan bukan saja menjadi misi hidup mati barisan pemain negara tetapi ia juga membabitkan masa depan pengendali skuad kebangsan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Dengan kontraknya yang bakal berakhir tahun ini, Dhaarma sedar apa saja boleh berlaku berhubung masa depannya selepas berakhir saingan itu nanti.

"Saya tahu kontrak saya tamat tahun ini. Kalau gagal di Ireland mungkin kontrak saya tak akan disambung dan begitulah sebaliknya.

"Saya sudah memahami situasi ini sejak terbabit dengan skuad negara bermula 2012. Apapun kita hanya perlu tunggu masanya nanti apakah yang akan berlaku," katanya sebelum berlepas ke Rome, Itali untuk aksi perlawanan persahabatan semalam.

Saingan di Ireland menjadi kemuncak kepada misi Malaysian Tigress kerana selepas itu tiada sebarang misi besar yang perlu menjadi fokus utama.

Atas faktor itu, skuad wanita negara menganggap misi di Ireland cukup penting dengan cuba menamatkan saingan di kedudukan dua terbaik sekali gus layak beraksi pada saingan play off Sukan Olimpik Tokyo hujung tahun ini. "Kami mahukan sesuatu daripada kejohanan ini.

Kalau gagal di Ireland, ia juga mungkin akan memberi kesan kepada kebanyakan pemain," katanya.

Skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Ireland selaku tuan rumah yang menduduki ranking ke-8, Republik Czech (19) dan Singapura (35).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 10:06 PM