Farah mahu bantu skuad negara di Ireland. FOTO HOKITA
Farah mahu bantu skuad negara di Ireland. FOTO HOKITA
Saiful Affendy Sapran


PENJAGA gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya berharap pengalaman beraksi bersama kelab liga utama England, East Grinstead HC dapat membantu Malaysian Tigress pada Pusingan Akhir Siri FIH bermula 8 Jun depan di Banbridge, Ireland.

Farah nyata tidak mengecewakan apabila diberi kepercayaan selaku penjaga gawang utama kelab itu yang menamatkan kempen musim lalu di kedudukan ketiga keseluruhan.

Ketika ini Farah turut cemerlang sepanjang tiga perlawanan dalam aksi tiga penjuru yang berlangsung di Rome, Itali.

"Pengalaman beraksi di England memang sangat memberi makna kepada saya. Sepanjang di sana, banyak perkara baru yang saya pelajari.

"Suasana di dalam pasukan juga sangat baik dan jurulatih sentiasa beri dorongan kepada kami.

"Saya harap segala pengalaman ini dapat membantu skuad negara di Ireland nanti," katanya.

Meskipun sedar tugas sukar menanti skuad negara di Ireland, penjaga gol berusia 30 tahun itu kekal tenang.

"Jurulatih (Muhammad Dhaarma Raj Abdullah) sering beri kepercayaan kepada kami dan selalu beritahu 'langgar' saja mana-mana pasukan tidak kira apa juga status mereka.

"Kami akan cuba bermain seperti biasa dan memberi tentangan kepada setiap pasukan yang akan ditemui nanti," katanya.

Skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Ireland yang menduduki ranking ke-8, Republik Czech (19) dan Singapura (35).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 4:06 PM