Ahmad Shapawi mahu lihat peningkatan berperingkat. FOTO NSTP
Ahmad Shapawi mahu lihat peningkatan berperingkat. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


MAJLIS Sukan Negara (MSN) memberi jaminan akan membantu skuad hoki wanita negara termasuk mempertimbangkan untuk meneruskan program latihan Malaysian Tigress sehingga ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou. Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pencapaian semasa jelas menunjukkan ada peningkatan dalam skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan beliau menuntut aksi lebih cemerlang selepas ini.

"Kami buat keputusan yang tepat sebelum ini untuk membantu pasukan hoki wanita. Sekiranya mereka boleh beraksi dalam kempen kelayakan (Sukan Olimpik), kami akan terus membantu mereka.

"Pada masa sama, sekiranya pasukan ini terus bergerak maju, tidak mustahil untuk MSN meneruskan (program) sehingga Sukan Asia 2022. "Kita mempunyai beberapa tahun lagi untuk melalui proses itu.

Yang penting sekarang ialah kami mahu melihat peningkatan secara berperingkat," katanya.

Anak buah Dhaarma menunjukkan peningkatan drastik dengan meraih tempat ketiga pada Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara minggu lalu.

Penamat ketiga itu juga dapat membantu memperbaiki ranking skuad negara di kelompok 20 terbaik sekali gus berpeluang cerah layak ke kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 berdasarkan kedudukan ranking.

Ketika ini skuad negara menduduki tangga ke-22 dan kedudukan itu dijangka berubah selepas tambahan mata ranking daripada kejohanan di Banbridge serta Sukan Asia di Indonesia tahun lalu dan ia dijangka diketahui Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 4:37 PM