HAZARD diperkenalkan sebagai pemain baharu Real Madrid di Stadium Bernabeu. FOTO AFP
HAZARD diperkenalkan sebagai pemain baharu Real Madrid di Stadium Bernabeu. FOTO AFP
AFP

EDEN Hazard menyuarakan keinginannya untuk menjadi seorang ‘Galactico’ di Real Madrid dan percaya dia menyertai kelab itu pada detik terpenting dalam kariernya.

Hazard diperkenalkan di depan 50,000 penyokong di Santiago Bernabeu selepas pemergian pemain Belgium dari Chelsea yang sekian lama dinantikan kelab itu, disahkan minggu lalu.

“Saya bukan seorang galactico, belum lagi, tetapi saya harap saya akan menjadi sedemikian satu hari nanti,” kata Hazard dalam satu sidang media selepas itu.

“Biarpun apa yang saya lakukan pada masa lalu, ia bagaikan bermula dari kosong semula. Saya bukan galactico, saya Eden Hazard, hanya seorang pemain yang sangat bagus.”

Madrid akan membayar pendahuluan 100 juta euro (RM470 juta) kepada Chelsea untuk Hazard dan kemungkinan tambahan 45 juta euro (RM211.5 juta) untuk pemain berusia 28 tahun itu yang menandatangani kontrak lima tahun dengan kelab baharunya.

Hazard mengakui Madrid ada membuat bidaan untuknya selepas Piala Dunia tahun lalu tetapi menegaskan ini adalah masa terbaik untuk meninggalkan Chelsea.

“Saya tidak fikir ia sudah terlewat, saya berusia 28 tahun, saat terbaik untuk seorang pemain,” kata Hazard.

“Saya menempuh pelbagai fasa dalam karier saya, di Lille dan Chelsea dan kini saya fikir masanya tepat unruk menyertai kelab terbaik dunia.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 11:31 AM