BERNARDO menjulang trofi Liga Perdana di Stadium Etihad, Manchester, awal pagi tadi. — FOTO AFP
BERNARDO menjulang trofi Liga Perdana di Stadium Etihad, Manchester, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

BERNARDO Silva muncul wira yang tidak didendang di sebalik kejayaan Manchester City mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris namun perancang utama dari Portugal itu kini berjaya memenangi hati Pep Guardiola.

Ketika dua anugerah utama pemain di England dimenangi rakan sepasukannya di City, Raheem Sterling dan pemain Liverpool, Virgil van Dijk, Bernardo bertindak cemerlang musim ini dan berhak mendapat penghormatan.

Dalam kempen yang mana City beraksi tanpa Kevin De Bruyne dalam tempoh lama kerana cedera manakala David Silva hanya beberapa kali mencapai kemuncak prestasi, Bernardo tampil memberikan mereka sentuhan kreatif berkali-kali.

Ia transformasi mengagumkan buat pemain berusia 24 tahun itu, yang bangkit daripada seorang pemain pinggiran musim lalu kepada pemain pertama dalam senarai kesebelasan utama bos City, Pep Guardiola.

BERNARDO (dua kanan) nadi bahagian tengah City musim ini. — FOTO Reuters
BERNARDO (dua kanan) nadi bahagian tengah City musim ini. — FOTO Reuters

Bernardo bermula hanya 15 perlawanan Liga Perdana bagi musim pertamanya ketika dia bergelut untuk meyakinkan pengurus bahawa dia bersedia dengan corak permainan fizikal bola sepak Inggeris.

Namun, sejak saat dia menyinar ketika menang Perisai Komuniti ke atas Chelsea Ogos lalu, dia menjadi pemain penting di bahagian tengah City, bermula dalam 31 daripada 38 perlawanan liga mereka.

“Dia sudah menjadi seorang bintang utama. Dia memiliki segala-galanya, dia seorang pemain yang disayangi,” kata Guardiola. “Mungkin musim ini dia antara seorang atau dua pemain terbaik Liga Perdana.”

Keyakinan Guardiola terhadap Bernardo dibalas apabila dia bertindak hebat ketika tekanan memuncak pada minggu-minggu terakhir dalam satu daripada perebutan kejuaraan paling sengit dalam sejarah.

Bernardo ternyata teruja dengan tanggungjawab tambahan diberikan Guardiola terhadapnya.

“Ini detik yang mana setiap pemain mahukan. Saya fikir kami bekerja keras untuk cuba dan bermain sebanyak mungkin,” katanya.

“Kami sedar ia tidak mudah kerana skuad ini memiliki pemain fantastik, tapi kami bersaing antara satu sama lain dan cuba untuk lebih meningkat.

“Suasana dalam bilik persalinan terlalu menarik.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 12:11 PM