DE BRUYNE (dua dari kiri) meraikan kejayaan bersama rakan pasukan selepas meledak gol buat city. -FOTO AFP
DE BRUYNE (dua dari kiri) meraikan kejayaan bersama rakan pasukan selepas meledak gol buat city. -FOTO AFP
AFP

Newcastle, England: Pep Guardiola berkata Manchester City mempamerkan jiwa sang juara untuk bangkit menewaskan Newcastle 3-2 hasil persembahan memukau Kevin De Bruyne sekembalinya ke aksi Liga Perdana.

Pemain Belgium itu bangkit dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol dan membantu gol Oscar Bobb pada masa kecederaan untuk mengumumkan kepulangannya daripada kecederaan selama lima bulan dengan penuh bergaya.

Kemenangan itu membawa City naik ke tangga kedua, dua mata di belakang Liverpool dan bersedia untuk kembali memberi saingan dalam perebutan kejuaraan apabila mereka kembali dari rehat musim sejuk selama dua minggu, di mana Erling Haaland mungkin cergas untuk menyertai De Bruyne dalam mengganas di kawasan pertahanan lawan.

"Itu sangat bagus, kadangkala lebih baik menang dengan cara sebegitu," kata Guardiola.

"Kami bermain dengan penuh personaliti. Mereka menunjukkan kepada saya mereka mahu berada di sana, untuk berjuang sehingga akhir bahawa mereka mahu mengekalkan gelaran."

Kekalahan Newcastle pada saat akhir itu menyaksikan anak buah Eddie Howe mengalami kekalahan keenam dalam tujuh aksi terakhir Liga Perdana.

Namun Newcastle sebenarnya berhak meraih satu mata selepas mengancam juara bertahan menerusi dua gol dalam tempoh dua minit pada babak pertama menerusi Alexander Isak (minit ke-35) dan Anthony Gordon (m-37).

"Kualiti mereka terbukti akhirnya. De Bruyne jelas seorang pemain bertaraf dunia," kata Howe, yang disokong secara khalayak oleh ketua eksekutif kelab Darren Eales awal minggu ini.

"Tidak banyak yang salah dengan persembahan kami. Anda boleh lihat hari ini kami pasukan ternama. Kelompok pemain ini berada di tempat yang bagus, saya tidak lihat sebarang faktor negatif. Saya lihat kekecewaan kerana kami tidak menang dan itulah sebabnya kami berada di sini untuk meraih kemenangan."

Bernardo Silva memecah kebuntuan dengan gol pembukaan pada minit ke-26 namun tuan rumah tampil mengejutkan pelawat dengan dua gol pantas menerusi Isak dan Gordon untuk mendahului ketika rehat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 8:51 AM