Superstar Manchester United mengalami penurunan gaji akibat gagal ke UCL. FOTO The Sun
Superstar Manchester United mengalami penurunan gaji akibat gagal ke UCL. FOTO The Sun
Agensi

PEMAIN Manchester United dipotong gaji sebanyak 25 peratus selepas gagal mendapat slot kelayakan beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Harapan Red Devils untuk berada dalam Top 4 berkecai semalam selepas seri 1-1 di tempat lawan ketika menentang pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Huddersfield Town.

Keadaan itu menyebabkan pemain skuad itu berkemungkinan berhijrah beramai-ramai selepas Ole Gunnar Solskjaer mendedahkan mahu merombak keseluruhan pasukan itu untuk saingan musim baru.

Penurunan gaji itu akan mendorong Real Madrid untuk memulakan langkah untuk mendapatkan khidmat Paul Pogba.

Pemain tengah itu akan kehilangan sebanyak £75,000 (RM408,000) setiap minggu daripada gajinya sebanyak £300,000 (RM1.6j) seminggu dengan nilai £3.9j (RM22j) setahun.

Sumber Old Trafford mendedahkan pengurangan gaji dibuat untuk memastikan pendapatan kelab itu tidak mengalami kejatuhan selepas terkeluar daripada UCL seperti didedahkan oleh akhbar Britain, bulan lalu.

Pemain mengalami potongan paling teruk terjejas adalah Alexis Sanchez yang menerima sebanyak £6.5j (RM35j) setahun selepas gaji mingguannya berkurangan daripada £500,000 (RM2.7j) seminggu kepada £375,000 (RM2j) seminggu.

Romelu Lukaku dengan gaji sebanyak £3.25j (RM17.6j) juga terbabit manakala David De Gea menurun kepada £2.6j (RM14.1j).

Fred dan Anthony Martial dijangka turut meninggalkan United selepas pendapatan mereka terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 6:49 PM