RONALDO penerima gaji paling mahal di United. FOTO AFP
RONALDO penerima gaji paling mahal di United. FOTO AFP
Agensi

London: Gaji terbaru Bruno Fernandes sebanyak £240,000 (RM1.3 juta) seminggu masih tidak menjadikannya salah seorang daripada lima pemain yang menerima gaji tertinggi di Manchester United.

Pemain berusia 27 tahun itu bersetuju menandatangani kontrak baharu selama lima tahun yang menyaksikannya meraih gaji lumayan itu.

Pengurusan United meyakinkan perancang tengah itu bahawa kelab akan kembali bersinar di bawah pengurus baharu, kemungkinan Erik ten Hag, sekali gus berpeluang memenangi piala.

Kontrak baharu itu menyaksikan Fernandes akan meraih pendapatan sebanyak £12.5 juta (RM69.4 juta) setahun.

Cristiano Ronaldo adalah pemain yang menerima gaji tertinggi di United iaitu sebanyak £480,000 seminggu (RM2.6 juta) sekali gus menyaksikannya meraih pendapatan tahunan £25 juta (RM138.8 juta).

Menurut Sportrac, turut mengatasi Fernandes dalam konteks meraih pendapatan tertinggi adalah penjaga gol, David De Gea, Jadon Sancho, Raphael Varane, Paul Pogba dan Edinson Cavani.

De Gea adalah pemain kedua menerima gaji tertinggi iaitu sebanyak £375,000 (RM2 juta) seminggu.

Sancho dan Varane pula masing-masing meraih gaji £350,000 (RM1.9 juta) dan £340,000 (RM1.8 juta) seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 9:58 PM