United cuba mendapatkan Brooks selepas Lukaku (kiri) sertai Inter. FOTO REUTERS
United cuba mendapatkan Brooks selepas Lukaku (kiri) sertai Inter. FOTO REUTERS
Agensi/Esme Jo

ROMELU Lukaku bersetuju menerima gaji sebanyak £180,000 (RM950,000) seminggu untuk menyertai kelab Serie A, Inter Milan.

Penyerang Belgium itu boleh meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dengan yuran perpindahan sebanyak £75 juta (RM396j).

Sebuah akhbar tabloid Britain, hari ini mendedahkan The Red Devils kini sedang cuba untuk mendapatkan perancang Bournemouth, David Brooks yang dianggarkan berharga £50j (RM264j).

Lukaku kehilangan tempatnya di Old Trafford di bawah pengurus baru, Ole Gunnar Solskjaer.

Pemain berusia 26 tahun itu bersetuju mengikat kontrak asas bersama kelab Itali itu dan perpindahan akan berkuatkuasa sebaik bayaran dipersetujui oleh dua kelab terbabit.

Bayaran setahun Lukaku sebanyak £9j (RM47j) adalah jumlah yang sama jika dia terus kekal bersama United musim depan.

Dia menerima sebanyak £225,000 (RM1.19j) seminggu pada musim lalu tetapi gajinya dipotong sebanyak £45,000 (RM238,000) seminggu selepas United gagal layak beraksi ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Lukaku mengadakan perbincangan dengan pegawai United, bulan lalu selepas memendekkan tempoh percutian untuk membincangkan masa depannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 5:29 PM