RONALDO bakal menerima gaji paling tinggi di Liga Perdana. FOTO EPA
RONALDO bakal menerima gaji paling tinggi di Liga Perdana. FOTO EPA
Agensi

London: Kepulangan Cristiano Ronaldo ke Manchester United akan menyaksikannya meraih gaji £480,000 (RM2.76 juta) seminggu sekali gus muncul pemain menerima gaji paling mahal di Liga Perdana Inggeris.

Bintang berusia 36 tahun itu mencetuskan kepulangan dramatik ke United semalam selepas sebelum itu dia dikatakan semakin hampir untuk menyertai seteru setempat, Manchester City.

Perpindahan itu akan menyaksikannya kembali ke Red Devils selepas 12 tahun meninggalkan kelab berkenaan untuk berhijrah ke Real Madrid dan kini bakal muncul pemain menerima gaji paling tinggi mengatasi Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku, Harry Kane dan David de Gea.

Pemain tengah Manchester City, De Bruyne menerima gaji tertinggi di Liga Perdana iaitu £385,000 (RM2.22 juta) seminggu manakala penjaga gol United, De Gea hanya kurang £10,000 (RM57,600) berbanding De Bruyne.

Gaji yang bakal diterima Ronaldo menyaksikannya mengatasi De Bruyne hampir £100,000 (RM576,000) tetapi jumlah itu masih tidak dapat mengatasi gaji diterima Lionel Messi dan Neymar di PSG.

Selepas meninggalkan Barcelona awal bulan ini, Messi bersetuju dengan gaji £1 juta (RM5.76 juta) seminggu bersama PSG.

Rakan sepasukannya, Neymar yang menyertai kelab itu pada 2017, turut menerima gaji tinggi sebanyak £600,000 (RM3.46 juta) seminggu.

Bagaimanapun gaji £480,000 seminggu yang diterima Ronaldo itu bersesuaian dengan usianya dan ia menunjukkan betapa United meletakkan kepercayaan kepada Ronaldo pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 9:36 PM